|
|
Berita Tengah (kecuali Wilayah Persekutuan)
|
September 13, 2009 17:53 PM |
|
BN, Pembangkang Perlu Tubuh J/Kuasa Disiplin Mengenai Tingkah Laku
PETALING JAYA, 13 Sept (Bernama) -- Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) meminta Barisan Nasional (BN) dan pembangkang supaya menubuhkan jawatankuasa disiplin masing-masing berhubung soal tingkah laku bagi memantau tindakan para pemimpin dan anggota mereka berhubung keharmonian kaum di negara ini.
Presiden ACCCIM Tan Sri William Cheng berkata tindakan perlu diambil terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman atau mengambil bahagian dalam mana-mana kegiatan yang boleh mengancam keharmonian kaum di negara ini.
Usaha itu boleh membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan konsep 1Malaysia demi perpaduan nasional, katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-105 dewan itu di sini Sabtu malam.
Cheng berkata agensi dan pihak penguatkuasa perlu bertindak segera ke atas mereka yang cuba menimbulkan angkara kerana jika tidak diberi perhatian ia boleh menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.
Beliau menegaskan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) bagi tahun ini jatuh 46.1 peratus sementara pelaburan domestik menurun 67.4 peratus sementara prestasi ekonomi keseluruhannya menjunam 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau juga berkata para ahli perniagaan berharap kerajaan akan dapat mencapai sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus menjelang tahun depan.
-- BERNAMA
|
|
|
|