|
|
Berita Sabah & Sarawak
|
October 20, 2009 10:54 AM |
|
Sarawak Lantik Konsultan Untuk Sediakan Pelan Induk Pertanian
MIRI, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Permodenan Pertanian Sarawak melantik juruperunding bagi menyediakan pelan induk pertanian untuk negeri itu.
Menteri Permodenan Pertanian negeri Tan Sri Dr George Chan berkata pelan induk itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan akan digunakan sebagai asas untuk merangka garis panduan dasar dalam membangunkan bidang itu.
Bercakap pada majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Pertanian Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri perlu memberikan tumpuan terhadap beberapa bidang atau produk tertentu bagi mengekalkan persaingan dalam pasaran eksport.
Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata jabatan dan kementerian berkenaan kini bekerjasama dengan dua syarikat swasta untuk membangunkan beras hibrid dan industri benih padi di Sarawak.
Beliau berkata pengeluaran beras Sarawak kini hanya boleh menampung permintaan 53 peratus daripada penduduk negeri manakala kos import makanan tahunan negeri meningkat kepada RM2.7 bilion tahun lepas berbanding RM1.3 bilion pada tahun-tahun sebelum itu.
Chan berkata usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan perlu diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).
Beliau berkata perancang sektor pertanian Sarawak perlu mengambil pendekatan berbeza sebagai persediaan RMK10 dalam usaha membuat perubahan besar dalam sektor itu.
"Jika kita terus melakukan perkara yang sama dan hanya membuat perubahan kecil terhadap strategi dan pendekatan kita, kita boleh terus berharap untuk mendapat keputusan yang sama," katanya.
Pada majlis itu, seramai 150 pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan menerima anugerah khidmat cemerlang.
-- BERNAMA
|
|
|
|