|
|
Berita Sabah & Sarawak
|
October 20, 2009 12:39 PM |
|
Penanam Sawit Sabah, Sarawak Mahu Ambil Pekerja China, Bangladesh, Filipina
SIBU, 20 Okt (Bernama) -- Para pengusaha kelapa sawit Sabah dan Sarawak kemungkinan mengambil para pekerja dari China, Bangladesh dan Filipina tidak lama lagi.
"Ini merupakan antara usaha kami untuk membawa masuk bilangan pekerja yang mencukupi dan sebagai tambahan kepada para pekerja dari Indonesia," kata Pengerusi Persatuan Penanam Kelapa Sawit Malaysia Timur (EMPA) Othman Walat kepada pemberita semasa majlis makan malam untuk mendapatkan lebih ramai ahli menyertai persatuan itu.
Walau pun para pekerja China tidak pernah teruji, Othman berkata dari segi sejarah mereka pernah bekerja di dalam industri timah di negara ini pada awal 1900 manakala sesetengah rakyat Filipina, yang termasuk graduan, telah diambil bekerja di kilang-kilang di Sabah.
Sabah dan Sarawak kini menyumbang 40 peratus daripada ladang kelapa sawit di negara ini.
Perangkaan Jabatan Perangkaan menunjukkan industri itu mengambil bekerja 369,290 pekerja asing dan 196,480 pekerja tempatan pada tahun lepas berbanding dengan 348,272 pekerja asing dan 186,110 pekerja tempatan pada 2007.
Negara ini diunjur mengeluarkan 18.4 juta tan metrik minyak sawit mentah pada tahun ini dan menyasarkan 19.69 juta tan metrik pada tahun depan.
Pada 2008, ia mengeksport 17.73 juta tan metrik (termasuk produk berkaitannya) yang bernilai RM65.20 bilion berbanding dengan RM45.17 bilion pada 2007.
Othman berkata ramai rakyat tempatan tidak berminat bekerja di dalam industri itu kerana ia menawarkan gaji yang rendah.
"Tetapi, ladang sekarang ini menawarkan ganjaran berdasarkan produktiviti. Sebagai contoh, seorang penuai boleh mendapat pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, yang bergantung kepada kuantiti tandan yang boleh dituainya. Sekeluarga tiga orang yang bekerja bersama boleh mendapat sehingga RM3,000," katanya.
Katanya Sarawak akan menjadi kawasan pertumbuhan baharu walau pun pada rentak yang perlahan bagi kelapa sawit kerana keluasan kawasan bersesuaian di Sabah semakin berkurangan.
Menjelang akhir tahun lepas, katanya kawasan seluas 1.3 juta hektar di Sabah ditanam tanaman itu manakala Sarawak mempunyai kawasan seluas 744,372 hektar.
Mengenai percubaan oleh pertubuhan barat yang tertentu baru-baru ini untuk cuba menghentikan penanaman kelapa sawit di di atas tanah gambut di kedua-dua negeri itu, Othman berkata perbuatan itu lebih kepada kepentingan faktor ekonomi berbanding dengan kebimbangan sebenar terhadap alam sekitar.
"Adakah mereka telah melakukan kajian mendalam untuk menunjukkan kesimpulan bahawa kelapa sawit di atas tanah gambut merbahaya kepada alam sekitar disebabkan masalah pengeluaran gas?
Masalah itu juga disebabkan penternakan lembu di negara-negara barat dan sama juga, adakah amalan itu perlu dihentikan? tanyanya.
Beliau bimbang Sarawak yang mempunyai kawasan tanah gambut seluas 1.6 juta km persegi dan malah Indonesia akan paling menerima kesan jika usaha berkenaan dipatuhi.
Mengenai isu lain, beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menimbangkan untuk menurunkan cukai di dalam industri itu semasa membentangkan bajet kebangsaan Jumaat ini.
Berucap sebelum itu, beliau menyeru lebih ramai pengusaha kelapa sawit, terutama sekali pekebun kecil untuk menyertai persatuan itu bagi membolehkan mereka menjaga kepentingan pekebun kecil berkenaan.
Persatuan itu kini mempunyai 104 ahli di mana 92 daripada mereka dari Sabah dan bakinya dari Sarawak.
-- BERNAMA
|
|
|
|