Bernama.com
Rencana 10 November, 2006 10:47 AM
 
Galeri Wariseni Pelihara Seni Ukiran Kayu


Oleh Mohd Fadzli Fadhilah

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu.

Seni ukiran Melayu memasuki dimensi baru apabila dipilih sebagai penghias dalaman untuk auditorium Pusat Oxford bagi Pengajian Islam di Universiti Oxford, di England, antara universiti berprestij di dunia.

Tetapi di tanah air sendiri warisan seni ukiran ini seakan hampir ditelan era kemodenan serta globalisasi dengan ia kini terpinggir dan di pandang sepi. Seni ukiran kayu Melayu pernah berada di puncak kegemilangan pada satu masa dahulu dan kegemilangannya perlu dikembalikan.

GALERI WARISENI

Galeri Wariseni yang terletak di Bukit Nanas merupakan wadah yang disediakan oleh kerajaan di bawah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (LPKM) bagi mempamer dan mempromosi produk ukiran kayu tempatan. Kepelbagaian produk yang dipamerkan di Wariseni mampu memupuk dan meyuburkan minat masyarakat untuk menghargai hasil seni ukiran kayu tempatan.

Di Wariseni, pelbagai produk seni kayu nukilan pengukir dari seluruh tanah air dipamer dan dipromosi. Timbalan Pengarah Pembangunan Peniaga Melayu LPKM Roslan Hassan berkata Wariseni mempamerkan barangan bukan sahaja buatan pengukir tetapi juga barangan syarikat-syarikat yang menghasilkan produk berasaskan ukiran.

"Kita pamerkan hasil ukiran mereka dan jika ada pihak yang berminat kita akan jual unit yang dipamerkan serta perkenalkan pengukir dengan pihak yang berminat, katanya.

Seni ini berpotensi untuk berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber kayu-kayan bersama kira-kira 3000 spesis kayu. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya.

UKIRAN MODEN

Tidak semua orang mampu menghargai seni ukiran Melayu, apatah lagi pelbagai rekaan moden lain di pasaran yang tidak kurang menambat perhatian terutama golongan muda yang mempunyai cita rasa tinggi. Roslan berkata tidak ramai tahu menghargai hasil seni ukiran kayu disebabkan perubahan minat terhadap seni ukiran itu.

"Bagi mereka yang benar-benar memahami hasil seni pasti sedar betapa bernilainya sesuatu ukiran kayu itu. Lebih lama, lebih tinggi nilainya," kata beliau ketika ditemui Bernama di Wariseni. Beliau berkata, ukiran kayu adalah satu seni rupa tradisi Melayu ulung dan bernilai tinggi.

Ia merupakan satu seni melorek permukaan papan atau bongkah kayu bagi mencorakkan sesuatu motif.

"Keunikan seni ukiran Melayu dapat dinilai daripada segi kehalusannya yang penuh dengan unsur adat resam, budaya dan alam sekeliling serta nilai keagamaan masyarakat Melayu. Seni ukiran yang dibentuk melalui kaedah tebuk tembus atau tebuk timbul wujud sebelum abad ke-16 di Semenanjung. Kaedah ini dapat dilihat pada seni bina bangunan tradisional termasuk istana, rumah, masjid dan perabot serta hiasan dalaman," katanya.

"Produk seni ukiran amat sesuai dijadikan bahan hiasan bagi kediaman yang mempunyai ruang luas tanpa perlu dicampur adukkan dengan bahan hiasan lain, sehingga kelihatan berat dan menjejaskan pemandangan. Jika dulu, ukiran kayu terlalu padat sehingga menyebabkan perabot itu kelihatan berat, tetapi, kini, ukiran direka mengikut peredaran zaman. Tiada lagi ukiran perabot yang nampak berat," katanya.

KEUNIKAN SENI UKIRAN

Antara spesies kayu yang sesuai dijadikan produk seni ukiran kayu ialah cengal, merbau, sena, nyatoh yang setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri dan mempunyai jangka hayat panjang jika diproses dengan cara betul serta dijaga dengan baik. Bagi kayu nyatoh pula, hasil kayu tempatan ini lebih berat. Biasanya tidak dijadikan perabot, sebaliknya dijadikan ukiran menghiasi pelbagai sudut kediaman atau bangunan. Keunikan seni ukiran Melayu ini ialah identiti tersendiri tanpa dibayangi sesiapa.

Antara motif yang boleh didapati ialah jari buaya, kerak nasi, bunga ketam guri, pepulut, pucuk paku, bunga teratai, kangkung, bunga telipot, bunga matahari, daun petola dan sulur kacang laut, katanya.

Roslan berkata, bagi ukiran katil, pintu, bingkai gambar dan papan congkak biasanya menggunakan corak bermotif tumbuh-tumbuhan seperti pucuk kacang, bunga raya, sayap dan awan larat.

Beliau berkata oleh kerana perabot ukiran moden disapu varnis gelap, sama ada yang berwarna coklat atau hitam, maka ia memerlukan latarbelakang yang lembut dan terang supaya bahan hiasan itu lebih menyerlah.

Sesetengah pemilik rumah terutama mereka yang beragama Islam memilih ukiran ayat al-Quran atau doa tertentu misalnya ayat Kursi dan seribu dinar. Ia diukir indah seperti bentuk kitab yang boleh dilipat,

LATIHAN UKIRAN

Wariseni turut mengadakan latihan ukiran untuk orang ramai yang berminat dengan hasil kerja ukiran. Sebagai permulaan, mereka diberikan kayu yang lembut untuk diukir, iaitu kayu Jelutong bagi memudahkan mereka mengikuti kelas ukiran berkenaan.

"Latihan ini diadakan untuk memberi kemahiran kepada mereka yang berminat dalam bidang ukiran kayu ini bagi menambah tenaga mahir yang semakin berkurangan dalam bidang ini. "Mereka diberikan pahat, kayu dan pisau ukiran untuk digunakan sepanjang tempoh latihan itu.

"Pada bulan pertama setiap peserta diberikan pengenalan mengenai kegunaan pahat dan kayu, pada bulan kedua pula mereka mula diajar mengukir dan seterusnya mereka diajar membuat produk ukiran," katanya.

Menurut beliau lagi, Wariseni turut menjalinkan kerjasama dengan Institut Latihan Kraftangan MARA yang menawarkan Diploma Seni Ukiran dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memberi latihan seni ukir.

Sehingga ini semua peserta menunjukkan minat yang mendalam dan mereka mampu mengikut satu demi satu latihan yang diberikan. "Setiap peserta diberi tunjuk ajar mengenai jenis ukiran dan peralatan mengukir," katanya.

Wariseni terletak di Lot 231, Jalan Ampang bertentangan Wisma Denmark. Ia dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels