Bernama.com
Am 29 November, 2007 17:14 PM
 
Duta Besar Suraikan 1,000 Aktivis, Demonstrasi Anti-Malaysia


JAKARTA, 29 Nov (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain memerlukan hanya tiga minit untuk menyuraikan demonstrasi anti-Malaysia, yang sebelum itu berkobar-kobar dan kononnya akan berlangsung satu tindakan nekad di hadapan kedutaan di sini pagi ini.

Lebih 1,000 pendemonstrasi anti-Malaysia daripada kalangan aktivis kebudayaan Reog Ponorogo, yang diapi-apikan semangat anti-Malaysia oleh pelbagai laporan media massa yang menuduh Malaysia telah mengambil dan mengakui berhak terhadap kesenian itu, akhirnya menyuraikan diri selepas mendengar penjelasan itu.

"Saya jelaskan di sini bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengakui tarian Reog itu berasal dari Malaysia walaupun tarian itu ada di Johor dan Selangor, katanya dengan menggunakan alat pembesar suara.

Kira-kira 150 tahun lalu, rakyat dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia membawa kebudayaannya dan ia dipraktikkan oleh anak cucu mereka di sana sehingga hari ini, katanya dari atas pentas yang berupa sebuah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin demonstrasi itu.

Setelah penjelasan yang menggunakan hanya kira-kira 50 patah perkataan sahaja itu, Zainal Abidin terus turun dari pentas itu dan kembali meneruskan tugas di pejabatnya, meninggalkan para pendemonstrasi itu terdiam seperti terpukau.

Akhirnya, sedikit demi sedikit mereka bergegas meninggalkan Jalan Rasuna Said yang sesak di hadapan kedutaan dan tiada satu pun lagi antara puluhan topeng singa Reog itu yang galak menari-nari dengan garang seperti kira-kira sejam sebelumnya.

Beberapa hari sebelum ini, heboh disebarkan khabar bahawa lebih 3,000 Reog (topeng singa berupa buruk) akan berdemonstrasi anti-Malaysia sehinggakan hampir semua stesen televisyen Indonesia membawa van siaran luar mereka bagi menyiarkannya secara langsung peristiwa itu.

Namun, tidak satu pun media massa dalam talian dan televisyen yang meliputi demonstrasi itu melaporkan aspek kecekapan diplomasi Zainal Abidin yang tampil dengan tenang menamatkan demonstrasi itu tanpa sebarang insiden buruk.

Kerana menjangkakan demonstrasi itu akan melibatkan tindakan keras dan kasar, ratusan polis Indonesia telah dikerah berkawal dan pagar dawai tajam anti-perusuh telah dipasang di hadapan pintu masuk ke kedutaan.

Sebelum keluar bertemu pendemonstrasi itu, Zainal Abidin bersetuju menerima beberapa orang wakil mereka di pejabat beliau.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Zainal Abidin berkata terlalu banyak tuduhan jahat dilemparkan terhadap Malaysia sejak kebelakangan ini dengan banyaknya laporan media dan perbincangan di laman web tempatan kononnya Malaysia telah mencuri pelbagai seni dan budaya Indonesia dan mengakui berhak ke atasnya.

"Entah dari mana timbulnya tuduhan kononnya Malaysia juga telah mempaten semua bentuk seni dan budaya itu termasuk batik dan lagu, katanya yang menjelaskan bahawa semua tuduhan itu tidak benar.

Duta Besar itu sendiri telah berkali-kali mengulangi penjelasan tersebut kepada media massa tetapi tuduhan demi tuduhan terus berlaku sehingga beliau berpendapat ada elemen jahat yang ingin merenggangkan hubungan akrab Malaysia dengan Indonesia dengan mengeksploitasikan seni dan budaya.

Eksploitasi seni dan budaya dilakukan oleh elemen jahat ini kerana ia merupakan isu warisan yang dibanggakan oleh rakyat Indonesia dan sangat sensitif di jiwa mereka serta dapat pula dengan mudah digunakan untuk membakar sentimen anti-Malaysia, jelasnya.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels