Bernama.com
Am 13 Mac, 2008 23:23 PM
 
DEB Bukan Isu Di Selangor, Sebaliknya Tumpu Pembangunan Rakyat Tanpa Mengira Kaum


SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, hari ini berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan isu di Selangor kerana kerajaan lebih mementingkan usaha untuk membawa pembangunan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau berkata gabungan tiga parti, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS, yang membentuk kerajaan negeri yang baru susulan pilihan raya umum lepas, tidak memihak kepada mana-mana kaum.

Sebaliknya keseluruhan penduduk Selangor akan menikmati hasil pembangunan, katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan hari ini.

"Saya tidak nampak DEB sebagai satu isu, oleh itu saya tidak mahu membincangkannya. Apa yang saya akan bincang ialah sama ada sudah cukupkah yang kita lakukan untuk mereka yang memerlukan di kalangan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata: "Kita mesti menghormati hak yang diberikan kepada orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun tidaklah sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat."

Abdul Khalid juga berkata institusi Diraja atau Sultan di Selangor mesti dihormati kerana Sultan ialah ketua agama Islam negeri yang bertanggungjawab melindungi kepentingan dan kebajikan umat Islam dan orang Melayu.

Gabungan itu katanya akan meningkatkan pembangunan negeri, mewujudkan ekonomi yang cekap dan memastikan Selangor akan terus mencatat pertumbuhan.

Beliau juga memberi jaminan mengenai peralihan lancar kepimpinan lama dan baru yang diketuainya.

Abdul Khalid berkata: "Saya mesti memuji usaha yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar (Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo) yang berusaha memastikan negeri itu mempunyai sumber dan rizab yang mencukupi untuk mengekalkan pertumbuhan."

Ia merupakan cabaran kepada pasukan baru dalam meningkatkan pembangunan negeri dan dalam masa yang sama menghadapi cabaran global seperti peningkatan harga minyak dan komoditi, selain perkembangan perlahan ekonomi tertentu termasuk Amerika Syarikat, katanya.

Abdul Khalid berkata: "Usaha pertama saya ialah memastikan kami sekurang-kurangnya tidak meningkatkan kos operasi. Oleh itu saya akan mencadangkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri tidak berbelanja untuk mambaik pulih pejabat sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun."

Kerajaan baru akan menggunakan apa yang dimilikinya sekarang bagi mengekalkan kos operasi termasuk mencadangkan kerajaan tidak membeli kereta baru untuk Menteri Besar yang baru, katanya.

Abdul Khalid berkata: "Yang akan kita lakukan ialah menubuhkan satu pasukan yang kami telah janjikan kepada rakyat Selangor yang telah mengundi kami. Mereka mahu melihat kami mengurus Selangor secara paling bekesan dan telus," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan serta menetapkan asas bagaimana negeri wajar mengurus dan memastikan setiap langkah adalah tepat.

Abdul Khalid juga berkata barisan exco baru perlu meletakkan keutamaan yang lebih tinggi dalam meracang masa depan negeri dan bukan sekadar mendapat jawatan.

Beliau berkata:"Tuanku ialah sultan yang memantau siapa yang bekerja."

Kerajaan campuran itu akan memastikan ekonomi yang mampan dan persekitaran perniagaan yang mesra bagi mendapatkan keyakinan pelabur serta usahawan, kata Abdul Khalid.

Ditanya mengenai janji-janji yang dibuat oleh pakatan itu menerusi manifesto pilihan raya, Abdul Khalid berkata beliau akan memaklumkan kepada media mengenai kemajuan pelaksanaannya serta inisiatif lain dua minggu sekali.

"Kebanyakan janji berkaitan kerajaan persekutuan namun saya akan pastikan kami dapat tawarkan kepada negeri ini," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa dokumen penting dimusnahkan dan bawa keluar dari pejabat kerajaan, Abdul Khalid berkata beliau akan menyiasat sendiri perkara itu apabila mula memasuki pejabat.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels