Bernama.com
Ekonomi 26 Julai, 2008 15:44 PM
 
PKNS Bakal Bangunkan Enam Projek Bina & Jual Bernilai RM100 Juta Di Bangi


Oleh Ahmad Farizal Hajat

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), anak syarikat kerajaan Selangor, akan membangunkan enam lagi projek berkonsepkan 'bina & jual' di Bandar Baru Bangi, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM100 juta.

Projek itu, yang akan dibangunkan dalam beberapa fasa, bakal menyaksikan pembinaaan pusat konvensyen, kompleks perniagaan, kedai dan pejabat, dan pembangunan town house/pangsapuri perkhidmatan (kesemuanya bakal dibangunkan di pusat bandar) serta 164 unit rumah teres dua tingkat di Seksyen 4 Tambahan, dan 40 unit rumah teres dua tingkat di Seksyen 7.

Kontroler Pembangunan PKNS kawasan Bangi, Siti Zubaidah Haji Abd Jabar berkata projek-projek ini yang dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat, masing-masing dijangka siap sepenuhnya dalam masa antara dua hingga tiga tahun lagi.

"Enam projek ini adalah senarai projek-projek baru yang akan dilaksanakan di Bandar Baru Bangi," katanya.

"Pembangunan projek-projek ini bakal bermula tidak lama lagi dan apabila siap kelak, ianya bakal menyaksikan perubahan yang ketara di kawasan ini.

"Ini adalah antara matlamat kami dalam membangunkan kawasan Bandar Baru Bangi ini untuk menjadi salah sebuah kawasan pertumbuhan yang sangat diminati dan menjadi rebutan masyarakat dalam dan luar," katanya pada Bernama baru-baru ini.

Katanya, pembangunan projek ini adalah sebahagian daripada projek-projek seumpamanya, dibangunkan PKNS di Bandar Baru Bangi dan kini pihaknya dalam peringkat rundingan dalaman terakhir.

"Kita akan memulakan projek ini selepas menyelesaikan lapan projek pembangunan kediaman dan lot kedai di beberapa kawasan di sekitar Bandar Baru Bangi," katanya.

Antara lain, projek yang masih dalam pelbagai peringkat pembinaan terdiri daripada 94 unit rumah berkembar di Puncak Bangi; 106 unit rumah teres dua tingkat, 20 unit rumah berkembar dua tingkat dan 157 unit pangsapuri lima tingkat di Seksyen 9; 210 unit apartment lima tingkat di Seksyen 5 dan 22 unit rumah berkembar dua tingkat di Seksyen 7.

Keseluruhan projek-projek ini, yang telah 80 peratus siap dianggarkan bernilai RM110 juta.

Menurut Siti Zubaidah, bagi mengimbangi serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan pendidikan di kawasan berkenaan, pihaknya bercadang membangunkan kawasan Bandar Baru Bangi sebagai sebuah Bandar Universiti.

Untuk mencapai misi tersebut, PKNS, katanya akan memperuntukkan 20 peratus bagi kegunaan perumahan, 24 peratus kegunaan institusi, 11 peratus pula kegunaan perindustrian, perniagaan enam peratus, infrastruktur 24 peratus dan rekreasi 15 peratus.

"Konsep pembangunan Bandar Universiti ini diilhamkan berikutan Bandar Baru Bangi mempunyai beberapa buah universiti, institusi latihan serta pusat pentadbiran dan perkhidmatan bagi Daerah Hulu Langat dan juga sebagai pusat pertumbuhan bagi kawasan Selatan Wilayah Lembah Klang," katanya.

Meliputi kawasan seluas 1,869 hektar, Bandar Baru Bangi telah dibangunkan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1974 dengan sasaran penduduk seramai 120,000 orang.

Menurut Siti Zubaidah, dalam tempoh 34 tahun membangunkan kawasan Bandar Baru Bangi, PKNS telah memajukan 94 peratus dari seluruh kawasan seluas 1,869 hektar itu dengan pelbagai projek di kawasan yang kini mempunyai 96,000 penduduk.

"InsyaAllah, baki empat peratus lagi kawasan yang ada akan kami majukan dalam masa dua tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels