Berita-berita Lain
04 November, 2009 21:13 PM
Proton Komited Masuki Pasaran India
Daripada Minggu Simon Lhasa
CHENNAI, 4 Nov (Bernama) -- Proton Holdings Bhd komited untuk memasuki pasaran kereta India, dan yakin ia boleh menyelesaikan rundingan mengenai perkongsian dengan bakal rakan kongsi menjelang awal tahun depan atau lebih awal.
"Kami tidak mahu menetapkan masa tetapi kami berharap menjelang awal tahun depan semuanya boleh diselesaikan, dan jika ini terlaksana, pembuatan boleh bermula menjelang 2011," kata pengarah urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, kepada Bernama awal minggu ini.
Beliau berkata Proton yakin perbincangannya yang sedang diadakan boleh memasuki peringkat berikutnya dan memang tidak syak lagi ia akan memasuki pasaran kereta India.
Syed Zainal Abidin berkata Proton menghantar keretanya ke India bagi ujian di jalan raya India sejak setahun setengah lalu.
"Jadi kami ada banyak maklum balas dari segi apa yang perlu dilakukan kepada kereta kami.
"Persoalannya ialah mencari rakan kongsi yang sesuai untuk mendapatkan kemudahan dan memulakan pengeluaran," katanya.
Beliau berada di India sebagai sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan yang diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.
"Tentulah, dalam krisis ekonomi semasa, kami mengkaji semula strategi kami," katanya sambil menambah bahawa Proton berbincang dengan beberapa pihak, termasuk kumpulan Hero.
Syed Zainal Abidin berkata ini soal masa dan mencari model perniagaan yang sesuai.
"Cuma sekarang ini, dengan situasi semasa, kami perlu menilai semula strategi kami dan diharapkan kami akan dapat memutuskan sesuatu kerana India adalah sebuah pasaran yang sangat penting," katanya.
Beliau berkata Proton mencari rakan kongsi yang mempunyai pengalaman luas dalam industri kenderaan bermotor India bukan sahaja dalam pembuatan malah juga jualan dan pengedaran.
Syed Zainal Abidin berkata Proton tidak akan membawa unit siap terpasang (CBU) ke India.
Katanya Proton akan membawa masuk unit komponen terurai (CKD) dengan kandungan tempatan yang tinggi kerana industri komponen di India cukup maju.
"Model perniagaan kami di India bukan CBU. Saya tidak fikir kami boleh bertahan lama dengan CBU kerana ia menelan kos tinggi," katanya.
Syed Zainal Abidin berkata Proton mencari rakan kongsi yang mempunyai kepakaran dalam pembuatan dan penyesuaian dengan keadaan tempatan kerana Proton tidak mempunyai kepakaran itu di India.
"Jadi kami mencari rakan kongsi yang boleh menyokong kami dan membantu kami dari segi itu," tegasnya.
Kata beliau Proton juga sedang meneliti satu rangkaian pengedaran yang sedia ada.
"India adalah pasaran besar. Saya tidak fikir ia berbaloi, dan sukar untuk mewujudkan rangkaian pengedaran kami sendiri.
"Lebih logik mengadakan perkongsian dengan syarikat yang sudah pun mempunyai rangkaian," tegas beliau.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



