Berita-berita Lain
04 November, 2009 21:18 PM
RSPO Jangka Masa Depan Cerah Bagi Minyak Sawit Lestari
Oleh Wan Nor Azura Mior Abd Aziz
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) menjangka masa depan yang cerah bagi minyak sawit susulan perhimpunan agung keenamnya yang diadakan di sini.
Menurut Setiausaha Agung RSPO Dr Vengeta Rao, perhimpunan itu membuka laluan kepada para anggota untuk bekerjasama ke arah masa depan industri yang lebih cerah.
Beliau berkata RSPO akan terus komited kepada prinsip-prinsip integriti dan ketelusan dan pembabitan semua pemegang kepentingan dalam mencapai amalan pertanian yang lestari.
RSPO merupakan inisiatif global bagi minyak sawit lestari dengan sasaran menggalakkan pertumbuhan dan penggunaan minyak sawit lestari menerusi kerjasama dalam rantaian bekalan dan dialog terbuka antara pemegang kepentingan.
Rao berkata cadangan resolusi oleh GAPKI atau Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia untuk RSPO memulakan kumpulan kerja bagi membentuk satu sistem untuk berkongsi kos persijilan bagi pekebun kecil diterima dengan baik.
Para anggota juga bersetuju memulakan kumpulan kerja untuk membentuk satu sistem berkongsi kos persijilan bagi penanaman baharu yang ketika ini ditanggung oleh penanam, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini, hari ini.
Ia juga menerima pembentukan kumpulan kerja untuk menyediakan cadangan mengenai bagaimana untuk menangani perladangan sedia ada di tanah gambut seperti yang dicadangkan oleh Wetlands International, katanya.
"Menjelang mesyuarat RSPO kelapan tahun depan lembaga eksekutif perlu menyediakan terma rujukan bagi jawatankuasa dan melantik anggotanya," katanya.
Jawatankuasa itu akan ditugaskan untuk membangunkan model perniagaan bagi pilihan lestari untuk perladangan minyak sawit di tanah gambut sekarang ini, kata Rao.
Ini, katanya, akan termasuk meneroka rejim pengurusan air yang sesuai bagi dan mekanisma untuk memudahkan pemulihan tanah gambut.
--BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.



