04 November, 2009 21:22 PM

M'sia, Pakistan Setuju Bentuk Panel U/Sama Tingkatkan Dagangan

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan bersetuju membentuk Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri, Majlis Perniagaan Bersama dan Kumpulan Kerja bagi meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan dua hala.

Panel itu juga akan membantu, mengkaji semula dan melaksanakan keputusan dan perjanjian yang dicapai di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.

Keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Luar Pakistan Makhdoom Shah Mahmood Qureshi, di sini Rabu.

Qureshi bekata Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Pakistan yang ditandatangani pada November 2007 perlu dikaji semula memandangkan ia kurang diimplemantasikan.

"Walaupun Pakistan dan Malaysia sudah lama menjalin hubungan perdagangan dan pelaburan, jumlah dagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara masih kecil berbanding potensi yang wujud," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Persuruhjaya Tinggi Pakistan.

Artikel 8 FTA menetapkan mesyuarat berkala Jawatankuasa Bersama Pakistan-Malaysia bagi menyemak semula pelakanaan peruntukan FTA, mengenal pasti halangan dan mencadangkan kaedah untuk meningkatkan peruntukan yang sesuai dalam FTA itu.

Qureshi juga berkata Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pelaburan dan perdagangan dengan Pakistan memandangkan Pakistan mempunyai pasaran pengguna yang besar iaitu 170 juta orang.

Beliau berkata Paksitan juga memerlukan 6.5 juta rumah kos rendah setahun.

Pakistan juga sudah mewujudkan zon ekonomi eksklusif untuk Malaysia di wilayah Sindh bagi pelabur Malaysia membuka kilang pengeluaran dan membekalkan produk industri siap kepada Pakistan dan pasaran lain, katanya.

Kerajaan Pakistan bersedia membantu pelabur Malaysia membuka industri di zon ekonomi itu, katanya.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.