04 November, 2009 22:07 PM

Hong Leong Bank Yakin Tentang Prospek China

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Hong Leong Bhd, yang menandatangani perjanjian kerjasama kewangan dengan China Development Bank Corporation (CDB) baru-baru ini, sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan dan peningkatan berpotensi pasaran China, kata pengarah urusan kumpulan, Yvonne Chia.

Chia, yang juga ketua pegawai eksekutif kumpulan itu berkata perkongsian itu menyediakan wadah bagi kumpulan itu menembusi pasaran dalam pelbagai bidang termasuk pembiayaan, pertukaran mata wang, pertukaran dan latihan pekerja serta pertukaran maklumat.

"China adalah kuasa besar ekonomi global. Potensi dan peluang amat besar," katanya, sambil menambah bahawa China merupakan pasaran penting bagi kumpulan itu.

Baru-baru ini bank itu juga menandatangani perjanjian dengan Bank of Chengdu Co. Ltd (BOCD) untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi mengendalikan sebuah syarikat kewangan pengguna berlesen di Chengdu, Sichuan, China.



HLB juga memilik 20 peratus kepentingan ekuiti dalam BOCD.



Menurut Chia, kepentingan ekuiti kumpulan sebanyak 20 peratus dalam BOCD, telahpun menghasilkan keuntungan sulung sebanyak RM99 juta dalam tahun kewangannya yang lepas.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.