07 November, 2009 00:20 AM

Najib Akan Hadiri Sidang Kemuncak APEC Di Singapura

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-17 di Singapura mulai 14 hingga 15 Nov.

Sidang kemuncak tahunan itu yang bertemakan "Mengekalkan Pertumbuhan, Menghubungkan Rantau", akan dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan dari 21 negara anggota dengan didahului Mesyuarat Peringkat Menteri APEC (AMM) ke-21 pada 11 dan 12 Nov dan Mesyuarat Pegawai Kanan APEC pada 8 dan 9 Nov.

Menurut Kementerian Luar, Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan berucap mengenai pelbagai isu meliputi krisis ekonomi, sistem perdagangan pelbagai hala, integrasi ekonomi serantau, kerjasama ekonomi dan teknikal, keselamatan manusia dan pengukuhan APEC.

Perdana Menteri juga dijemput mengambil bahagian pada Sidang Kemuncak APEC CEO dan akan berucap mengenai tajuk "Adakah Keadaan Paling Teruk Dalam Krisis Global Sudah Berakhir?" pada 13 Nov.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman juga akan menghadiri sesi berkenaan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 14 Nov, Najib akan menyertai dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC dengan tokoh korporat utama yang mewakili kumpulan perniagaan APEC, katanya.

APEC merupakan merupakan satu forum ekonomi sekumpulan negara yang bersempadan dengan Lautan Pasifik. Antara isu yang dibincangkan ialah ekonomi serantau, kerjasama, perdagangan dan pelaburan.

Keputusan yang dibuat pada AELM ke-17 akan didokumentasikan dalam Deklarasi Bersama Pemimpin-pemimpin manakala hasil perbincangan AMM ke-21 akan dinyatakan dalam Kenyataan Bersama Peringkat menetri, kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.