07 November, 2009 15:57 PM

Pakistan Minat Belajar Dari Malaysia Untuk Tingkatkan Sektor Perkhidmatan

Daripada Hafizah Kamaruddin

KARACHI, 7 Nov (Bernama) -- Pakistan, kagum dengan pencapaian Malaysia dalam mengeksport industri perkhidmatannya berminat untuk belajar dari negara ini, cara untuk meningkatkan sektor perkhidmatannya sendiri terutamanya bagi pasaran eksport, demikian menurut pegawai perdagangan peringkat tinggi Pakistan.

Usman Hasan, ketua pengarah Lembaga Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) turut menyaran para pelabur Malaysia agar melabur di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di wilayah Sindh Pakistan serta mengeksploitasi sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara kedua-dua negara.

Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport perkhidmatan keenam terbesar ke negara-negara Asia, Afrika dan Arab sekali gus telah membuktikan pencapaian cemerlangnya dalam sektor berkenaan, kata beliau kepada sekumpulan wartawan Malaysia di sini Jumaat.

Sehubungan itu, beliau berkata yang kerajaan Pakistan akan meminta bantuan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

Angka dan data tersedia tahun 2007 menyaksikan nilai eksport sektor perkhidmatan Malaysia ialah pada AS$28.27 bilion, dan ini merupakan 0.55 peratus penguasaan pasaran dunia.

Pakistan pula mengisi tempat ke-13 mencatatkan nilai eksport AS$3.758 bilion iaitu 0.11 peratus daripada pasaran dunia.

Sambil memberikan contoh bagaimana Pakistan telah mengguna pakai langkah Malaysia untuk memperuntukkan dana bagi membantu usahawan dalam sektor perkhidmatan, beliau berkata yang negara itu untuk pertama kalinya telah peruntukkan dua bilion rupees (kira-kira AS$24.03 juta) untuk membantu membiayai industri tempatan meneroka sektor perkhidmatan.

Antara Jun dan Julai tahun ini, eksport perkhidmatan Pakistan mencatatkan pertumbuhan 12.6 peratus kepada AS$4.043 bilion daripada AS$3.589 bilion tahun lepas.

Hasan berkata eksport perkhidmatan terbesar Pakistan ialah dalam sektor pengangkutan yang menguasai AS$1.283 bilion daripada jumlah nilai perkhidmatan dari Jun-Julai 2009.

Logistik berjumlah AS$912 juta dalam tempoh dua bulan itu, pengembaraan (AS$222 juta), perkhidmatan komunikasi (AS$196 juta) dan komputer serta perkhidmatan maklumat (AS$184), kata beliau.

"TDAP akan menulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mendapatkan bantuan terutamanya dalam bidang tender, mengendalikan kajian kemungkinan ke atas bakal projek dan pemasaran dalam usaha meningkatkan eksport dalam sektor perkhidmatan," kata beliau.

Hasan turut melahrikan harapan agar pelabur Malaysia menerima tawaran Pakistan untuk melabur dalam EEZ negara itu yang meliputi kawasan seluas 16 hektar.

Ia telah ditubuhkan oleh kerajaan wilayah Sindh untuk menambah nilai pengeluaran produk utamanya dan penjenamaan semula serta memasarkannya untuk pasaran antarabangsa.

Pada masa ini, pelabur China dan Jepun telahpun melabur dalam kawasan yang diperuntukkan kepada mereka di EEZ, katanya.

Beliau berkata pelabur Malaysia di EEZ boleh membantu Pakistan dalam menambah nilai eksport utama negara seperti ikan, beras, sayur-syauran dan buah-buahan, tekstil dan produk kulit.

"Pelabur Malaysia yang mempunyai pengalaman dalam industri hiliran boleh memindahkan teknologi dan kepakaran mereka ke Pakistan," kata beliau.

Ini adalah seiring dengan matlamat Pakistan untuk meluaskan lagi asas eksport negara dengan menaik taraf potensi eksport dalam produk di mana negara itu mempunyai kelebihannya.

Untuk tempoh 2008-2009, nilai eksport Pakistan merosot kepada kira-kira AS$17.782 bilion daripada AS$19.052 bilion pada 2007-2008, dengan eksport utama ialah pertanian dan produk makanan, barangan kejuruteraan dan barangan pengeluaran lain.

Menyentuh mengenai FTA Malaysia-Pakistan, Hasan berkata sektor perniagaan Malaysia tidak mengambil kelebihan daripada perjanjian perdagangan itu.

Perjanjian FTA yang dimeterai pada November 2007 dan dikuatkuasakan awal tahun lepas, lambat laun akan menyaksikan penghapusan tarif import dalam banyak produk pertanian dan pembuatan menjelang 2012 dan insentif khas untuk syarikat Malaysia dan Pakistan.

Di bawah niaga janji itu, Malaysia akan memansuhkan duti import menjelang 2012 ke atas 77.3 peratus import dari Pakistan. Pakistan sebaliknya pula akan menghapuskan duti import ke atas import pertanian dan perindustrian dari Malaysia.

Beliau berkata syarikat Malaysia boleh memeriksa status syarikat Paksitan yang ingin mereka sertai dengan merujuk kepada TDAP.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.