06 November, 2009 10:15 AM

Kumpulan Dikir Barat Sri Rahmat Bantu Kurangkan Gejala Sosial

Oleh Intan Ariffin

KOTA BAHARU, 6 Nov (Bernama) -- Dalam usaha mengelakkan remaja di Kampung Inap Desa (Homestay) Seterpa daripada terjebak dengan budaya melepak yang hanya membuang masa dan tidak mendatangkan faedah, Ketua Umno Cawangan Seterpa, Rosli Mohd Hamzah bertindak memperkenalkan kumpulan dikir barat.

Sememangnya remaja memerlukan hiburan tetapi hiburan itu hendaklah dengan cara yang betul di samping dapat memberi nilai tambah kepada aktiviti yang dilakukan, kata beliau.

"Saya perhatikan, mereka (remaja) sentiasa ingin mencuba sesuatu. Untuk mengelakkan daripada cenderung kepada perkara yang tidak baik, jadi saya tubuhkan kumpulan dikir barat Sri Rahmat supaya dapat menarik perhatian dan fokus mereka kepada aktiviti seni budaya ini," kata Rosli.

BERMULANYA KUMPULAN DIKIR BARAT SRI RAHMAT

Sebagai pengasas kumpulan dikir Sri Rahmat, Rosli berkata, idea untuk menubuhkan kumpulan dikir itu bermula akhir tahun 90-an apabila melihat anak-anak muda di Kampung Seterpa suka melepak di tepi-tepi jalan dan kedai kopi sehingga lewat malam.

Sememangnya di Kampung Seterpa ini tiada pusat-pusat hiburan dan ini kemungkinan menyebabkan timbul rasa bosan di kalangan mereka.

"Jadi dengan adanya hiburan dikir barat, bolehlah kita gantikan masa mereka di samping memastikan hiburan tradisi ini tidak lupus begitu sahaja," sambung Rosli.

"Sejak wujudnya sesi latihan dikir barat setiap tiga hingga empat kali dalam satu minggu, bila habis latihan, pukul 12 malam, mereka penat, terus tido. Sebelum tu, saya perhati, sehingga pukul empat pagi mereka belum balik rumah," katanya.

Lebih daripada separuh anggota kumpulan dikir Sri Rahmat terdiri daripada remaja lingkungan 19 hingga 25 tahun dan selebihnya ada yang mencecah sehingga 60 tahun.

Pada awal penubuhan, anggota kumpulan mengumpulkan wang sendiri walaupun jumlahnya sedikit semata-mata untuk membeli peralatan muzik.

"Mengenai prinsip setiap kali mesyuarat saya dah tekan awal-awal. Kalau dapat imbuhan daripada persembahan ataupun pertandingan, 10 peratus daripadanya wajib dimasukkan dalam tabung dikir dan selebihnya digunakan untuk peribadi," kata Rosli, yang juga memegang jawatan Pengerusi Biro Kebudayaan kampung Pak Rahmat.

PENDIDIKAN UNTUK ANAK-ANAK MUDA

Bagaimanapun, Rosli mengakui bukan mudah untuk mendidik anak-anak muda sekarang agar mencintai dan mendalami budaya lama ini.

"Kita tak boleh terus-terang marah-marah, kita harus menggunakan pendekatan yang berhemah dan bertolak-ansur dalam mempengaruhi jiwa remaja.

"Psikologi budak-budak...jiwa remaja ni, kita tahulah, perangai budak-budak. Mereka tengah cergas, kebanyakannya agresif. Jadi, kitalah yang kena jadi teladan," tambah Rosli.

Rosli juga aktif sebagai Pengerusi Ketua Platun 199, RELA Daerah Kota Baharu. Pengalaman ini, beliau gunakan untuk diterapkan kepada setiap anggota kumpulan Sri Rahmat.

"Sesetengah pendikir ni, ada yang kerja kerajaan dan ada yang kerja sendiri. Bagi yang kerja tu, pangkat tinggalkan kat tempat kerja, apabila dalam latihan ni, kita semua sama sahaja," katanya.

Rosli berkata, prinsip ini perlu bagi memastikan "Awak-awak"(pendikir) mengikut perintah Tuk Jogho dan Tukang Karut tak kira dalam latihan mahupun semasa persembahan, apatah lagi apabila melibatkan persembahan spontan.

TURUN KEPADA PERINTIS

Rosli beranggapan, kehadiran orang muda, penting dalam kumpulan ini kerana ia bukan sahaja dapat menyelamatkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial malahan menyelamatkan seni tradisi Kelantan daripada terhapus ditelan oleh peredaran zaman.

Rosli yang mengamalkan cara hidup aktif berpersatuan juga memegang jawatan dalam mukim Seterpa sebagai Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga, Ahli Jawatan Kuasa Masjid Kampung Pak Rahmat dan Ketua Biro Keceriaan Keindahan Kampung.

Jadi tidak hairanlah beliau dapat mengumpul ramai remaja di samping orang lama dan veteran yang masih ada asas dikir, silat tari dan kertuk.

Selain dikir barat, di bawah seliaan beliau juga menubuhkan pasukan seni silat tari.

"Syukur alhamdulillah kita masih ada golongan veteran di kampung ini yang masih ada asas dikir, silat tari, kertuk," tambah Rosli.

CIPTA REKOD

"Masa mula-mula kita tubuhkan, kita yang cari budak muda untuk sertai kami. Kini setelah kumpulan Sri Rahmat sudah mula dikenali...Orang mula datang untuk menyertai kami," katanya.

Nama Sri Rahmat dikenali sejak 2002 apabila berjaya menjuarai pertandingan dikir barat anjuran Proton di Machang, Kelantan dan menerusi jemputan untuk membuat persembahan.

"Anak-anak muda ini makin lama makin seronok menyertai pelbagai pertandingan. Yang terbaru tahun ini, pasukan kita membolot semua acara yang dipertandingkan semasa pertandingan Dikir Barat Keputeraan Sultan Kelantan, " kata Rosli.

Manakala pada 20 Okt lepas, kumpulan Seri Rahmat mencipta rekod membuat persembahan dikir barat tanpa henti sepanjang perjalanan dari Singapura ke Tumpat, Kelantan.

Tepat pukul 6.50 petang, 19 Okt, kumpulan ini memulakan persembahan dengan mengalunkan tiupan diikuti tepuk bertabuh oleh "Awak-awak" sebelum "Tuk Jogho" memulakan nyanyian mengetuai "Awak-awak" dan seterusnya "Tukang Karut" memainkan peranannya.

"Kami menggunakan lapan alat muzik tradisional iaitu dua rebana dan masing-masing satu gong, serunai, tamborin, romba, canang dan cin cak. Hanya "kertok" yang kita tak boleh guna dalam keretapi sebab ia terlalu besar dan tidak sesuai dalam keretapi yang sentiasa bergegar ini," kata Rosli.

Walaupun malam semakin larut, suara "Tukang Karut" dan "Tuk Jogho" semakin serak dan kering untuk terus menyanyi tetapi fokus dan semangat setiap anggota yang mahu menempa sejarah ini begitu kental.

"Semangat kami semakin bertambah apabila melihat sebahagian wartawan dan penumpang turut menyertai dan mengikut gerak tari "Awak-awak"," katanya.

Penulis masih ingat dan terngiang-ngiang di telinga bagaimana sekali-sekala "Awak-awak" melaungkan ungkapan semangat seraya berkata: "Dekat doh-dekat doh, Nok pecoh doh, sikit je lagi!" yang bermaksud "sudah semakin hampir, sikit masa lagi kita pecah rekod".

Sedikit demi sedikit apabila sang suria menampakkan sinarnya, menyemarakkan lagi semangat anggota dikir Sri Rahmat untuk terus bertahan dalam gerabak Tren Ekspres Timuran sehingga tepat pukul 10 pagi di stesen Tumpat.

BANGGA DAN PUAS

Mohd Khairul Anuar, 19, tersenyum puas dan meluahkan rasa bangga apabila selesai melakukan persembahan dikir sepanjang malam itu yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain dan pengalaman ini akan sentiasa diingati.

"Malam tadi sangat mencabar, tapi seronok, saya sentiasa pastikan berada dalam "mood happy". Selalunya apabila muzik bergema kita akan ceria, tengok gelagat dikir lain pun boleh buat kita ceria," katanya.

Beliau yang amat mencintai seni budaya ini, mula menjinakkan diri dalam bidang itu sejak berumur sembilan tahun dan mengenali kumpulan Sri Rahmat melalui kenalan.

Manakala Sukri Mohd, 28, dan Fairuz Abdul Kadir, 24, beranggapan apabila dengar paluan kompang dan ketukan gong, kebanyakan kawan-kawan dalam kumpulan akan melupai banyak perkara, termasuklah rasa penat ataupun mengantuk.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.