05 November, 2009 12:48 PM

Laporan Akhbar Berbentuk Teguran Penting, Kata SUP Sabah

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) -- Laporan akhbar berbentuk teguran mengenai sesuatu jabatan kerajaan penting bagi memantapkan perkhidmatan awam, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Muhammad Hatta Abdul Aziz pada Khamis.

"Laporan media yang negatif mengenai sesuatu jabatan kerajaan mungkin menyinggung perasaan sesetengah penjawat awam atau menjejaskan imej jabatan berkenaan.

"Tetapi ia (laporan media) perlu sebagai maklum balas kepada perkhidmatan awam sekiranya laporan dibuat berdasarkan fakta tepat dan sahih," katanya ketika merasmikan Majlis Interaksi Media bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan Negeri di sini.

Bagaimanapun, Muhammad Hatta berharap pengamal media tidak terlalu kritis ketika membuat laporan sehingga menjejaskan imej jabatan berkenaan sebagai sebuah badan kerajaan.

Beliau mencadangkan agar pengamal media mewujudkan kerjasama pintar dengan jabatan kerajaan agar pengamal media dapat membuat laporan seimbang.

Muhammad Hatta berkata kerjasama itu penting bagi memudahkan mesej kerajaan disampaikan kepada rakyat, terutamanya dalam melaksanakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.