05 November, 2009 12:54 PM

Enam Tren Baru LRT Beroperasi Disember - Ong Tee Keat

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kesesakan penumpang Sistem Pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang akan dapat dikurangkan apabila enam tren baru yang kini sedang diuji, dijangka beroperasi bulan depan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Kita telah terima tren baru itu, bagaimanapun ia sedang diuji kerana mahu memastikan ia mengikut prosedur ujian selama 16 jam sehari dan pertambahan tren ini dapat menampung bilangan pengguna yang meningkat," katanya kepada pemberita selepas melawat Stesen LRT Bangsar di sini pada Khamis.

Selain dapat mengurangkan kesesakan penumpang, beliau berkata pertambahan tren itu juga dapat memendekkan waktu menunggu selama dua minit berbanding tiga minit sebelum ini.

Ditanya mengenai kos pembelian tren baru itu, Ong berkata jumlah sebenarnya masih belum dipastikan kerana kos itu berterusan ketika dalam ujian.

Beliau yang sebelum itu menaiki komuter dari Stesen Bank Negara ke Stesen KL Sentral mendapati kesesakan penumpang nyata dialami pada waktu puncak pukul 6 hingga 9 pagi yang menjadi kebiasaan saban hari.

Selain itu cabaran utama bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan komuter adalah mempercepatkan waktu menunggu penumpang daripada 20 minit kepada 15 minit.

"Waktu menunggu dalam lingkungan 20 minit itu agak lama, masih ada ruang untuk ditingkatkan untuk menjadikan waktu menunggu kepada 15 minit sahaja. Itu boleh dicapai dengan rancangan KTM (Keretapi Tanah Melayu Berhad) untuk menambah tren baru pada 2013, bagaimanapun itu bergantung kepada bajet yang akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Ong berkata pihaknya perlu membuat perancangan teliti meningkatkan tahap perkhidmatan awam di negara ini memandangkan bilangan penumpang perkhidmatan awam termasuk bas, LRT, monorel, komuter meningkat daripada 240,000 sehari pada 2008 kepada 600,000 menjelang 2012.

"Lonjakan ini akan memerlukan pertambahan kapasiti 360,000 sehari, dengan 26 peratus dijangka menggunakan KTM, 26 peratus LRT, lima peratus akan guna monorel dan ERL. Ini adalah unjuran, jadi keadaan sebegini menjelang tahun 2012 diharapkan kita dapat mencapai tahap penggunaan perkhidmatan awam sebanyak 25 peratus berbanding ketika ini 12 peratus," jelasnya.

Antara perkara lain yang perlu diberi perhatian, kata beliau adalah kemudahan pengangkutan awam yang mesra orang kurang upaya (OKU), tahap keselamatan penumpang di stesen dan di dalam pengangkutan awam, menambah bilangan papan tanda serta meningkatkan tahap keselesaan penumpang.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.