

Berita-berita Lain
05 November, 2009 12:57 PM
Menteri Penerangan Asean Hadir Mesyuarat AMRI Di Vientiane
Daripada Zulkefli Salleh
VIENTIANE, 5 Nov (Bernama) -- Menteri-menteri Penerangan Asean berkumpul di sini pada Khamis untuk mengukuhkan kerjasama dalam penerangan dan media bagi membina sebuah Komuniti Asean menjelang 2015.
Mesyuarat Menteri-menteri Asean yang Bertanggungjawab bagi Penerangan (Amri) akan diikuti dengan pelancaran persidangan Amri dengan rakan sejawat mereka dari China, Jepun dan Korea (Amri + 3) pada Jumaat.
Bertemakan "Meningkatkan Kerjasama Media dalam Pembinaan Komuniti Asean", Amri dijangka melangkah lebih jauh ka arah pembinaan kerjasama yang lebih padu dalam kerjasama media kerana kumpulan ini ingin mempercepatkan impian untuk sebuah Komuniti Asean dalam masa lima tahun akan datang.
Para pegawai kanan pada mesyuarat mereka yang memulakan persidangan itu, mengkaji semula kemajuan pelbagai aktiviti di bawah Asean dan Rangka Kerja Asean Campur Tiga dan pada amnya merasakan bahawa langkah-langkah yang lebih konkrit diperlukan dalam bidang kerjasama media.
Timbalan Perdana Menteri Laos PDR Thongloune Sisoulith ketika merasmikan persidangan Amri pada Khamis menggesa agar satu rangkaian media negara-negara Asean yang lebih tersusun.
Para pegawai Malaysia berkata negara ini akan mencadangkan satu peraturan yang sama untuk Asean memandangkan pengalamannya menubuhkan Nam News Network (NNN).
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menghadiri mesyuarat ini dijangka mencadangkan bahawa kumpulan ini menubuhkan satu mekanisme untuk mengumpul dan menyalurkan semula berita mengenai Asean daripada kaca mata mereka sendiri.
Asean ketika ini tidak ada mekanisme seperti itu.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

