07 November, 2009 19:55 PM

TMB Buka 105 Kaunter Pemasaran TM Point

KOTA BAHARU, 7 Nov (Bernama) -- Telekom Sales and Services Sdn Berhad (TSSSB) anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) telah membuka 105 kaunter pemasaran TM Point, berperanan mengendalikan urusan berkaitan dengan telekomunikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif TSSSB, Ahmad Khairul Razi Ismail berkata kaunter yang dulu dikenali Kedai Telekom kini berubah wajah, dengan penampilan mesra pelanggan antara lainnya mengurus pembayaran bil telefon, bil elektrik, air dan Astro.

"TSSSB juga membuka kaunter bergerak ke kawasan tumpuan penduduk di kawasan pedalaman bagi membolehkan urusan pembayaran bil dilakukan dengan cepat dan mudah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Red Carpet Day di sini, pada hari Sabtu.

Majlis itu diadakan serentak di seluruh negara dan Kelantan dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Zainuddin Ibrahim dengan dihadiri Pengurus Besar TM Kelantan, Abdul Rashid Che Othman.

Ahmad Khairul Razi berkata kaunter bergerak yang dikenali TM Point Bergerak dikendalikan oleh empat kakitangan akan berada sehari dalam seminggu di satu-satu lokasi yang ditetapkan termasuk di Ciku, Gua Musang; Bukit Bunga di Jeli; Melor di Bachok dan beberapa daerah lagi.

"Ketika berada di lokasi itu, petugas akan mengurus pembayaran semua bil-bil yang dikenakan termasuk bayaran Astro bagi penduduk yang memiliki saluran TV berbayar itu," katanya.

Abdul Rashid yang ditemui selepas itu berkata pihaknya menerima antara 500 dan 600 permohonan telefon baru sebulan di Kelantan dan kira-kira 700 pelanggan jalur lebar sebulan.

Beliau berkata pihaknya telah meningkatkan perkhidmatan syarikat itu bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati kemudahan yang disediakan oleh agensi kerajaan pusat itu.

"Melalui program TM Point Bergerak, kita turun ke bawah temui orang ramai, mereka tidak perlu lagi ke tempat kita sekiranya jauh," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil kesempatan di atas kemudahan yang disediakan itu bagi menjamin setiap urusan pembayaran dilakukan dengan teratur.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.