

Berita-berita Lain
05 November, 2009 13:14 PM
Pertumbuhan ADEX Diunjur Antara Lapan Dan 10 Peratus Bagi 2010
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- OSK Research mengunjurkan pertumbuhan perbelanjaan iklan pada 2010 antara lapan dan 10 peratus, dipacu oleh pemulihan ekonomi dan beberapa acara utama seperti Piala Dunia 2010 dan Sukan Komanwel 2010.
Firma penyelidik berkata akhbar akan terus menjadi medium pengiklanan paling popular walaupun bahagian televisyen dan radio akan meningkat susulan pertumbuhan kukuh berbanding unjuran pertumbuhan kecil bagi akhbar.
"Kami yakin segmen pasaran Bahasa Malaysia akan terus menjadi pemacu pertumbuhan utama bagi Adex akhbar, diketuai Harian Metro, yang semakin meluaskan penguasaan pasaran sejak beberapa tahun lepas," katanya dalam nota kajiannya pada Khamis.
Adex bagi sembilan bulan pertama tahun ini berkembang 3.4 peratus mengikut perbandingan tahunan kepada kira-kira RM4.7 bilion berbanding RM4.56 bilion tahun lepas.
Walaupun mengunjurkan pertumbuhan Adex paling sederhana bagi 2010, OSK mengekalkan panggilan "berkecuali" ke atas sektor itu memandangkan masih ada risiko bahawa pemulihan ekonomi akan lebih perlahan daripada yang dijangkakan.
"Bagi pilihan utama, kami memilih badan penyiaran seperti Astro dad Media Prima berbanding media cetak, berikutan meningkatnya kepentingan dan kepadatan untuk pengiklanan televisyen selain radio, yang merupakan antara segmen yang paling berkembang pesat bagi Adex" katanya.
OSK juga menjangkakan unjuran yang lebih baik untuk syarikat media cetak ketika pemulihan ekonomi dan pemulihan dalam margin apabila harga kertas turun daripada harga kemuncaknya tahun lepas walaupun pilihan adalah untuk badan penyiaran.
Firma penyelidikan itu memilih NSTP berbanding Star berdasarkan kedudukan utamanya dari segi penguasaan pasaran Adex untuk akhbar selain pendedahannya dalam segmen berbahasa Malaysia, yang menawarkan potensi pertumbuhan yang lebih baik berbanding segmen Bahasa Inggeris, yang tepu dan tidak bergerak sejak beberapa tahun lepas.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.

