04 November, 2009 14:54 PM

MCA Perlu Tempoh Bertenang: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kepimimpinan MCA menetapkan tempoh bertenang bagi mencari jalan penyelesaian segera krisis dalaman berikutan kewujudan dua Timbalan Presiden dalam parti itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata Barisan Nasional tidak akan campur tangan dalam masalah parti itu kerana yakin ia dapat diatasi dengan kesepakatan pemimpin di setiap peringkat dalam MCA.

"Eloklah Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk Seri Chua Soi Lek, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pemimpin tertinggi termasuk Ketua Pemuda dan Wanita mereka duduk berbincang, dan perlu ada tempoh bertenang supaya tak timbul kalut, supaya tak timbul kes tak puas hati. Saya percaya jalan penyelesaian itu ada," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Semalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) MCA menerima keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Dr Chua masih Timbalan Presiden parti itu sekaligus menyaksikan Liow kembali menjadi Naib Presiden setelah dilantik oleh CC Timbalan Presiden ketika Dr Chua disingkirkan daripada jawatan itu sebelum ini sebagai satu tindakan disiplin.

Liow yang tidak berpuas hati mahu mencabar keputusan ROS itu, dilaporkan berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Muhyiddin berkata keputusan ROS itu dibuat berdasarkan apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan MCA, dan jika ada pihak yang tidak berpuas hati, mereka berhak untuk mengambil tindakan.

"Apabila orang ada konflik dia tak bawa ke mahkamah, dia minta ROS (beri kepastian). Banyak parti lain pun buat macam itu, jadi ROS teliti dari sudut perlembagaan bukan dari sudut undang-undang.

"Kalau Liow mungkin tak setuju, beliau pun ada cara untuk bawa ke pihak lain untuk dapatkan kepastian sama ada keputusan itu betul atau tidak," katanya.

ROS mengumumkan Dr Chua masih Timbalan Presiden dengan alasan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Okt lepas tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya beliau dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.