UCAPAN DASAR YAB DATO' SRI MOHD NAJIB TUN HJ. ABDUL RAZAK PRESIDEN UMNO SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009 PADA 15HB OKTOBER 2009 (KHAMIS) JAM 9.00 PAGI DI DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim



Alhamdulillahi Rabbil A-lamin, was-salatu was-salamu ala Rasulillah.



Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu
qauli.



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,



Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap,



Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden,



Naib-naib Presiden,



Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO

Ahli-ahli Majlis Tertinggi,



Ketua-ketua komponen parti BARISAN NASIONAL,



Dif-dif kehormat, para tetamu dan para jemputan,



Para perwakilan dan pemerhati,



Seawalnya saya ingin berkongsi Firman Allah SWT, dalam surah As-Saff ayat
yang ke-4:



"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam
barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu 'bun-ya-nun-marsus'
yakni bangunan yang tersusun kukuh."







Kemudiannya pesan daripada Saidina Ali bahawasanya :



"Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang
batil dan salah, tetapi diatur dengan tersusun."



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



1. Pertama sekali, seperti lazimnya, marilah kita mengangkat rasa
syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam,
yang mana dengan keredhaan-Nya jualah, dapat kita sekali lagi berhimpun pada
pagi yang mulia ini.



2. Sesungguhnya Dewan Merdeka ini telah beberapa dekad menjadi
saksi kepada pelbagai peristiwa, silih berganti, perjalanan suka duka, pahit
maung dan manisnya sebuah parti keramat yakni UMNO, parti kita semua.





3. Perhimpunan pada pagi ini juga penuh bermakna dan bertuah,
kerana, di bawah bumbung UMNO, hadir dua mantan Presiden yang kita kasihi.
Marilah kita sambut dan raikan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YABhg.
Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi.



4. Demikianlah contoh semangat juang dalam jiwa pemimpin UMNO yang
tidak pernah pudar; bahkan terus mekar, terus bersedia untuk bersama-sama
dalam sebuah perjuangan yang belum selesai, demi membina bangsa yang
cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan semangat dan kekuatan inilah, kita
akan bangkit kembali membina keagungan bangsa yang sungguh banyak jasanya
pada negara tercinta.



5. Setinggi-tinggi penghargaan kita hulurkan juga kepada YABhg Tun
Dr. Siti Hasmah bersama YABhg Tun Jeanne Abdullah, kerana turut serta dalam
perhimpunan kita pada pagi ini sekali gus menyemarakkan semangat semua ahli
UMNO dari seluruh pelusuk tanahair yang menyaksikan detik bersejarah ini.



6. Perhimpunan Agung kali ini mencatat beberapa mercutanda.
Pertamanya, satu sejarah secara peribadi kerana inilah ucapan dasar sulung
saya, selaku Presiden UMNO sejak mengambil alih pucuk pimpinan, secara rasmi
pada bulan Mac yang lalu. Syukur, peralihan kuasa yang tertib, lagi licin
bersandarkan tradisi mulia UMNO, telah berlangsung dan dimungkinkan oleh
YABhg Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi.



7. Keduanya, perhimpunan kali ini hanya dalam jangka masa enam
bulan dari tarikh perhimpunan yang lalu, menyaksikan satu langkah berani
UMNO membuat pindaan besar terhadap perlembagaan parti seraya membuktikan
UMNO tidak jumud dan bukanlah parti yang lapuk. Sebaliknya, dengan pindaan
ini, jelas memperlihatkan kesungguhan UMNO untuk menjadi sebuah parti yang
dinamik, progresif dan responsif kepada kehendak semasa.



8. Ketiganya, perhimpunan ini akan menjadi titik monumental, kepada
UMNO yang akan meninta perjalanan di atas lembaran baru, dengan semangat
baru, pendekatan baru dan hala tuju yang baru.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



9. Begitulah, pada pagi bermakna ini, dalam keceriaan bulan Syawal
yang mulia, meraikan kemenangan, menentang kehendak hawa nafsu di Ramadhan
lalu, kita sewajarnya dengan penuh rasa syukur mengucapkan pula ungkapan
Alhamdulillah, ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kejayaan kita, mempertahankan
kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dengan lonjakan majoriti yang
berganda.



10. Sayugialah, saya merakamkan sekalung kata terima kasih kepada semua
pimpinan di setiap peringkat yang telah bertungkus lumus, bekerja keras
serta orang ramai terutamanya para pengundi dalam menggondol kemenangan
bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti.
Sememangnya kejayaan ini, membenarkan hakikat bahawa, UMNO masih merupakan
parti pilihan orang Melayu dan UMNO masih merupakan parti pilihan rakyat.



11. Ini membuktikan juga bahawa rakyat tempatan dari semua kaum dan
semua lapisan telah menyuarakan keinginan mereka dengan jelas untuk terus
berlindung di bawah naungan Barisan Nasional. Kenapakah, pilihan ini telah
dibuat, tuan-tuan dan puan-puan? Sudah terang lagi bersuluh, kerana Barisan
Nasional merupakan parti yang terbukti kecemerlangannya dalam pentadbiran
negara, kerana Barisan Nasional lah yang sebenarnya menjadi pembela rakyat
selama ini.





12. Walau apa pun, kita harus menerima kemenangan ini dengan tenang,
penuh tawadhuk dan rasa kerendahan hati. Seperti kata pepatah Inggeris 'One
swallow does not make a summer', takkanlah dek kerana seekor burung
lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba, atau, disesuaikan dalam
simpulan bahasa Melayu 'Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air
tempayan dicurahkan'. Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa
kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh
diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk.



13. Di Bagan Pinang, kita dapati orang-orang bukan Melayu menerima UMNO
dengan hati yang terbuka. Jelasnya, di kawasan pilihan raya yang pengundinya
terdiri daripada masyarakat majmuk seperti ini, kita mahukan UMNO diterima
rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib
Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di
Malaysia.





14. Ini bertepatan dengan Surah Al-Maidah ayat ke-8, di mana Allah SWT
menyeru kita, supaya menjadi orang yang berlaku adil, serta menegakkan
kebenaran kepada semua kaum dan bangsa, kerana berlaku adil itu dekat kepada
taqwa. Kalau kita menjaga kebajikan semua rakyat, maka pastinya rakyat,
tanpa mengira bangsa dan keturunan, akan dengan relanya menyokong serta
mengangkat kepimpinan parti kita.



15. Dalam hal ini, mahu tidak mahu, UMNO perlu menjadi parti yang lebih
terbuka pendekatannya. UMNO perlu dipilih atas sebab parti kita adalah yang
terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, matlamat, ataupun
sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini. Kalau inilah resipi kejayaan
kita baru-baru ini di Bagan Pinang, yang telah meraih majoriti besar, maka,
saya yakin dan percaya dengan menggunapakai ramuan ini di tempat-tempat lain
pun, selepas ini, kita akan menikmati kejayaan yang sama atau lebih besar
lagi, insya-Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Sejarah adalah guru yang terbaik. Musim dan masa terus berlalu
tanpa menunggu sesiapa. Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor
bahawa: "Mereka yang engkar dari memahami dan tidak belajar daripada sejarah
akan dihukum dengan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama". Pokoknya,
peristiwa sejarah bukan sahaja untuk dicontohi dan diikuti, tetapi, ia
menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat manusia bagi
mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya.



17. Jelas sekali, manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar
daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan
tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun.
Maknanya, untuk menongkah masa depan yang cemerlang, kita perlu berakar
teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai. Barulah kita
berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang, dengan persediaan yang rapi
serta serasi menurut hambatan zaman. Oleh kerana itulah, saya memilih tajuk
ucapan pagi ini sebagai "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan."



18. Jadinya tuan-tuan dan puan-puan, menyonsong tawarikh, jika diamati,
tahun ini adalah tahun yang signifikan bukan sahaja dalam susur galur
negara tetapi juga susur galur parti UMNO. Sekitar tempoh ini, lima puluh
tahun yang lalu, Malaysia mula mengamalkan demokrasi berparlimen secara
mutlak, apabila pilihanraya umum pasca merdeka yang pertama diadakan pada
tahun 1959. Sekitar waktu ini juga, empat puluh tahun yang lalu yakni 1969
UMNO telah mengepalai usaha untuk menyelamatkan negara dari ambang
kehancuran, natijah konflik antara kaum.





19. Kira-kira kala ini juga, dua puluh tahun lalu yakni 1989, UMNO
telah menerajui usaha untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan memulakan
proses industrialisasi negara. Manakala masih segar terakam dalam ingatan
ramai, pada detik-detik ini pulalah, sepuluh tahun dulu yakni 1999, UMNO
sekali lagi telah bingkas beraksi, menyelamatkan negara daripada jatuh
merudum ke dalam cerun krisis kewangan Asia.



20. Sekali lagi, apa yang mustahak untuk diketahui adalah, kesemua
tindakan hebat yang dinyatakan ini, nakhodanya adalah kepimpinan UMNO,
berlandaskan kebijaksanaan pemikiran yang kreatif lagi berinovatif.
Segala-galanya dilakukan, atas nama kepentingan dan kesejahteraan rakyat.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



21. Mengenang peritiwa dan kejadian juga, jangan mudah kita lupa bahawa
selepas tragedi 13 Mei 1969, para pemimpin UMNO boleh memilih untuk tidak
meneruskan demokrasi yang telah digantung. UMNO juga boleh memutuskan untuk
menubuhkan kerajaan satu parti atau mungkin menyokong saja pihak angkatan
tentera melakukan kudeta.



22. Akan tetapi, harus barang diingat, itu semua tidak dilakukan,
malah UMNO berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa lapan
belas bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa, UMNO bukan sebuah parti yang
mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



23. Sehubungan itu, jika kita ingin tahu apakah maksud perkauman yang
sebenar, lihat sahaja, sejarah Afrika Selatan, sewaktu dicengkam apartheid.
Bahkan di Amerika Syarikat pun, amalan perkauman secara terang-terangan
berlaku sehingga pertengahan tahun 60-an. Sekolah, bilik air, tempat makan
di restoran malah tempat duduk dalam bas antara kaum ternyata
dibeza-bezakan.



24. Semuanya ini, hanya berakhir setelah keputusan pengasingan kaum,
institusi pendidikan tahun 1954 oleh Mahkamah Agong melalui kes Brown lawan
Lembaga Pendidikan Kansas, Akta Hak Sivil tahun 1964 dan Akta Hak Mengundi
tahun 1965 digubal.



25. Dalam konteks ini, nampaknya berbeza benar, keadaan kita di
Malaysia dengan realiti di dunia luar. Ehwalnya, orang Melayu adalah bangsa
yang bersifat amat inklusif dan merangkumi. Jelasnya lagi, jika orang Melayu
bersikap dan bersifat perkauman mana mungkin Melaka boleh menjadi sebuah
pelabuhan entrepot yang makmur pada abad ke-15.



26. Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa
usul periksa, begitu semberono menempelak UMNO sebagai sebuah parti
perkauman harus terlebih dahulu mencermin diri secara ikhlas. Mereka harus
sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri. Adakah ia
benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan?.



27. Sedangkan, jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak
mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik-etnik lain
seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah-sekolah
aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan
begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak
berdekad lamanya.



28. Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku,
bahawa merekalah kononnya, sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai
keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara
ini.





Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,



29. Lumrahnya, kita dapati bahawa, sesuatu matlamat yang baik sahaja
tanpa diseimbangi pengalaman, dihiasi kesederhanaan serta dipimpin
bersandarkan perspektif sejarah, jikapun betul, bukan sahaja tidak akan
menghasilkan yang baik, sebaliknya boleh pula menyebabkan berlakunya
ketidakadilan dan kezaliman.



30. Berasas lagenda silam, UMNO perlu juga menggali dan mencontohi
kekayaan tradisi pemikiran strategik era keagungan kerajaan Melayu Melaka.
Keagungan empayar Melaka di tengah-tengah dua kuasa besar ketika itu, yakni
China dan Siam mempertontonkan bahawa kuasa minda mampu mengatasi dan
menundukkan semua. Justeru itulah, saya sering menekankan, pertarungan
sebenar masa kini dan pertarungan sebenar masa depan adalah pertarungan
minda.



31. Begitu terserlah di era itu, Bendahara Tun Perak yang arif lagi
bijaksana dengan menggunakan kehebatan mindanya penuh berhemah dan berhelah,
berjaya menjulang Melaka ke tempat yang tinggi. Sekalipun Melaka merupakan
kuasa kecil berbanding China dan Siam, ia telah berjaya bukan sahaja
mengekalkan kemerdekannya selama lebih daripada satu kurun tetapi juga mampu
berkembang menjadi kuasa rantau yang ternama.



Tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan sekalian,



32. Menjengah kembali perjuangan parti, untuk sentiasa memperoleh
sokongan massa, UMNO harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti
yang ampuh membela untung nasib rakyat. UMNO tidak boleh dilihat sebagai
sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit.
Sebaliknya, kita mahu UMNO dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya
sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya
mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi UMNO sebagai parti untuk cari
makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.



33. Amat mustahak lagi, UMNO menjadi parti yang berpegang kepada
falsafah 'wasatan' yakni bersederhana, atau, dengan apa yang disifatkan oleh
ilmu sains politik sebagai "centrist party". Kita tidak boleh menjadi parti
yang ultra kiri atau ultra kanan. Waima, fahaman UMNO semenjak penubuhannya
bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman
konservatif.



34. Hakikat yang jelas, UMNO adalah parti siasah yang semesta. Semua
pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung UMNO. Malah, semenjak
penubuhannya lebih enam puluh tahun yang lalu, UMNO telah dianggotai
mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.



35. Termasuklah juga lapis golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan
pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam
UMNO. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah kekuatan UMNO, inilah lambang
kebitaraan perjuangan UMNO yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang
menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat.



36. Wadihnya, dalam usia lebih enam dekad, UMNO adalah parti yang sarat
dengan pengalaman. UMNO bukan sebuah parti yang baru tetapi kaya dengan
warisan. Pelbagai denai, onak dan duri telah ditempuhi. Bak kata orang,
perjalanan ini menjadi rahmat dan sekali gus juga bebanan. Ia adalah rahmat
kerana kita bukannya parti yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai
rantaian rekod yang boleh menyokong janji-janji tersebut kepada rakyat.
Bebanan pula timbul apabila kita berhadapan dengan pelbagai isu legasi yang
mengancam survival bangsa dan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



37. Selama ini, UMNO dihormati dan disegani sebagai sebuah parti
politik oleh kawan mahupun lawan disebabkan UMNO adalah sebuah parti yang
mendapat sokongan majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera. Seandai dan
sekiranya, sokongan ini terhakis, maka UMNO tidak akan disegani kawan dan
tidak lagi dihormati lawan.



38. Lantaran itulah, suka atau tidak, kekuatan UMNO sebagai sebuah
organisasi politik amat bergantung kepada kemampuannya untuk memahami
kehendak para ahli. Manakala, kerelevanan UMNO sebagai sebuah parti
pemerintah pula bergantung kepada sejauh mana ia berjaya menangkap imaginasi
bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga yang lebih utama kepada
seluruh rakyat Malaysia.





39. Ertinya di sini, UMNO akan terus mendapat tempat sebagai sebuah
parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat dizahirkan dalam
perjuangan parti, seterusnya dimanifestasikan pula dalam gerak kerja
penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.



40. Di persimpangan ini, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi
UMNO dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu. Kekalutan hanya akan
wujud jika tasawwur UMNO tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak. Hal
ini ditambah burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa
UMNO tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara
pantas.



41. Jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menanggap bahawa
UMNO bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata, malahan bersikap
angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli. Jadi, janganlah hairan
jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat UMNO
bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah
berubah menjadi sebahagian daripada masalah.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



42. Oleh sebab itu, untuk terus lestari, UMNO tidak ada pilihan
melainkan perlu membumi dan mendakap realiti. UMNO perlu terus membuka
rongga dan ruang pembaikan. Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah
perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti.



43. Selaku Presiden UMNO, saya dengan ikhlas menyeru kepada semua orang
Melayu, demi maslahah ummah, marilah bersama-sama membentuk satu saf yang
berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan untuk merungkai kekusutan,
memulihkan silaturrahim serta memacu kepentingan bersama. Sepertimana
pepatah lama, air dicincang tidak akan putus, buanglah yang keruh, kita
ambillah yang jernih, agar bangsa yang mulia ini terus dimartabatkan.



44. Dalam masa yang sama, ahli-ahli UMNO, baik di peringkat kepimpinan
tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu
bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan
kekhilafan. Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan
kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli-ahli UMNO perlu mewajahkan peri
laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti.



45. Pada hemat saya, dalam perkara ini, antara sifat pemimpin yang
paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan
tawadhuk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah
yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang
sentiasa bersedia memberikan khidmat.



46. Saya ingin berpesan, janganlah segan untuk turun ke bawah dan
merapatkan diri dengan akar umbi sekali pun kita menyandang jawatan tinggi.
Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Malah rakyat
akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka, sukar didekati,
apatah lagi pemimpin yang sombong dan bongkak. Mereka yang menunjukkan
keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi
pemimpin yang disanjung.



47. Selain itu, para pimpinan UMNO dan ahli-ahli seharusnya terkenal
dengan integriti apabila diberikan tugas dan amanah. Ini amat mustahak dalam
meyakinkan rakyat untuk terus bersama UMNO. Jika persepsi negatif tentang
integriti dan etika pemimpin UMNO menular, ia dengan sendirinya akan menjadi
faktor utama menjauhkan sokongan rakyat terhadap kita.



48. Tambahan lagi, untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang
kewibawaan dan integriti UMNO, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia
juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan
aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin. Insya-Allah nantinya
rakyat akan dapat menerima semula, secara sepenuh hati, parti kita ke
pangkuan mereka.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



49. Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu
bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh
sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya
separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri,
kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu,
tandanya memang dah sah lah dia gila.



50. Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali
dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam
melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik
sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan
berbanding keberhasilan atau "outcome''.



51. Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa.
Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk sepuluh tahun dari
sekarang. Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dahulu
adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak
atau sudah jarang digunakan.



52. Contohnya, apabila mula digubal, Dasar Ekonomi Baru menyasarkan
peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera dari 2.4 peratus kepada
30 peratus, dalam tempoh masa dua puluh tahun. Namun begitu, sehingga Dasar
Ekonomi Baru tamat pun, matlamat ini masih belum dapat diterjemahkan.
Pemilikan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera hanya mencapai 19.2 peratus
sahaja. Oleh itu, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan
Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini, Misi Nasional menggunakan
pendekatan yang tidak jauh berbeza.



53. Namun, masa berlalu menyaksikan ekonomi Malaysia berubah haluan
dan bergantung kepada pelaburan asing serta hasil eksport, manakala ekonomi
negara kita kini lebih terbuka dan mudah terkesan dengan perkembangan
ekonomi global. Mengikut laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia tahun 2008,
Malaysia adalah negara pengeksport barangan yang ke-21 terbesar di dunia.



54. Hakikatnya, cabaran ekonomi masa depan yang menanti kita lebih
rumit dan hebat. Landskap ekonomi dunia juga sudah berubah. Formula semalam
belum tentu lagi masih mujarab. Jika dalam tempoh hampir empat dekad kita
gagal mencapai matlamat dengan menggunakan kaedah yang sama, bukankah sudah
sampai masanya kita memikirkan strategi baru yang lebih relevan dengan masa
dan zaman untuk mencapai cita-cita yang diimpikan?



55. Berikutan hal ini, orang-orang Melayu perlu sedar bahawa salah satu
sebab yang memungkinkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana ia
dilaksanakan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang mapan. Perangkaan
menunjukkan bahawa, pukul rata pertumbuhan ekonomi negara di antara tahun
1971-1990 adalah pada kadar 7.1 peratus.



56. Justeru, menyedari peri mustahaknya pertumbuhan ekonomi, apabila
Malaysia menghadapi kemelesetan pertengahan 80-an akibat kejatuhan harga
komoditi dunia, kepimpinan UMNO dan negara ketika itu mengambil tindakan di
luar kotak kelaziman. Telah ditangguhkan ketika itu, elemen-elemen utama
Dasar Ekonomi Baru bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan
pertumbuhan. Ini dibuat melalui pewujudan persekitaran yang subur untuk
pelaburan terus asing, terutamanya, dalam bidang pembuatan.



57. Strategi ini ternyata telah berjaya. Kutipan cukai kerajaan
bertambah, peluang pekerjaan melata, dan ekonomi negara berjaya pulih dari
kemelesetan. Hasilnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah dapat diteruskan.
Bersandarkan faktor inilah, maka, kerajaan hari ini telah mula
meliberalisasikan sektor-sektor tertentu di samping melihat semula dengan
komprehensif cara penciptaan dan pegangan kekayaan Melayu dan Bumiputera
agar ia lebih mapan serta lebih bermakna.



Tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan sekalian,



58. Di sudut lain, bukan sahaja UMNO yang harus berubah dan melakukan
proses transformasi ke arah kebaikan generasi pewaris negara, yang terlebih
penting adalah orang-orang Melayu seluruhnya perlu berubah corak
pemikirannya. Hari ini, kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif
serta Dasar Ekonomi Baru begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka
tidak perlu lagi topang dan sangga. Katanya, mereka boleh berdiri di atas
kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.



59. Tampaknya, golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar. Maksud
saya, jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang
menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu
lain yang masih memerlukan bantuan. Adakah adil namanya jika topang ini
dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang
sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung padanya.



60. Di atas segalanya, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa, nikmat
tersurat hari ini adalah, orang Melayu telah mempunyai kelas menengah yang
besar. Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru
dilancarkan pada tahun 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa, hari
ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai
mahsul daripada langkah-langkah Dasar Ekonomi Baru.



61. Oleh sebab itu, kita perlu faham bahawa, isunya di sini bukanlah
soal bantuan, tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut.
Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan
memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama.



Tuan-tuan dan puan-puan,



62. Kita semua tahu bahawa, UMNO telah didirikan atas falsafah
perjuangan, keikhlasan dan pengorbanan serta roh patriotik yang tinggi.
Inilah asas-asas tersirat yang selama ini memanggu kekuatan parti.
Sayangnya, ramai daripada generasi kini mengambil enteng akan jerih payah
pendahulu-pendahulu menubuhkan UMNO.



63. Ambillah pengajaran daripada kesungguhan dan kemuliaan generasi
yang terdahulu. Contohnya, pengorbanan ikhlas kaum wanita dalam parti.
Tercatat dalam sejarah, kaum ibu yang rela melurut cincin, gelang dan rantai
demi membiayai rombongan pimpinan Tunku ke London bagi merundingkan
kemerdekaan. Inilah sikap mulia dan murni wanita UMNO sejak berpuluh tahun.
Sifat yang sungguh kita sanjung tinggi.



64. Saya juga masih ingat cerita pimpinan-pimpinan lalu yang sanggup
berlebih kurang dalam serba kepayahan dan kesederhanaan berjuang untuk
parti. Kata mereka, kalau dulu tidak macam sekarang, semuanya nakkan yang
empuk dan semuanya nakkan yang mewah. Dulu, kalau ke persidangan UMNO, siapa
yang tak kenal New Hotel dan King Hotel di Batu Road. Untung-untung pun
dapatlah merasa Majestic Hotel. Sekarang ini, kalau tak dapat hotel lima
bintang, ramai yang mengeluh sakit-sakit badan. Tak standard dan tak kelas
katanya.



65. Apa yang cuba saya utarakan di sini adalah, ke manakah hilangnya
budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam UMNO? Kalau hendak diikutkan,
begitu ramai golongan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan
jurutera yang menjadi ahli. Malangnya, di saat-saat kita memerlukan
kerja-kerja sukarela umpamanya, pada musim pilihanraya, begitu sedikit yang
tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Barangkali, mereka
ini tidak mendapat tempat di cawangan atau mungkin borang keahlian mereka
hilang di tengah jalan.



66. Makanya, saya menyeru agar ahli-ahli UMNO menyegarkan kembali
budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti. Ikhlaskanlah diri untuk
menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan
rakyat Malaysia. Sesungguhnya tuan-tuan dan puan-puan yang dilimpah kurnia
serta kelebihan oleh Allah SWT, dalam kehidupan masing-masing, sewajarnya
kembali menyumbang kepada masyarakat. Barulah nanti akan datangnya
keberkatan dalam berparti dan dirahmati oleh Allah SWT. Seperti kata lagu,
berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah perjuangan sebenar, sejati
dan mulia.



67. Berkaitan hal yang tersebut juga, untuk menjadi parti yang berjaya,
kita tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat. Kini,
rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu
lebih dirundingi dan didampingi secara langsung. Realitinya, rakyat mahukan
pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.



68. Untuk itu, kita mesti meneruskan proses islah dan menzahirkan
perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa. Kita mesti dikenali sebagai
parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula
menzahirkan perubahan itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,



69. Menuju ke arah ini, pertamanya, UMNO telah bertindak berani meminda
perlembagaan parti untuk menjadikannya lebih telus, inklusif dan demokratik.
Nampaknya, langkah kita telah menyebabkan pihak-pihak tertentu melatah,
hingga ada yang tanpa segan silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda
perlembagaan parti mereka, sekalipun tanpa perincian yang rapi. Inilah
tembelang, aliran dan gaya sebenar mereka, suka membuat janji umum yang
tidak pula ada susulan tertentu.



70. Berbanding pindaan yang kita lakukan ini, bukan sekadar bersifat
kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya ia merupakan perubahan secara
tuntas dan signifikan. Ia akan meluaskan bilangan ahli yang terlibat sama
secara langsung untuk memilih kepimpinan parti. Ia membabitkan anjakan angka
daripada sejumlah 2,500 perwakilan kepada lebih 146,000 orang. Inilah
petanda, bahawa semangat demokrasi hidup segar dan hidup subur dalam UMNO.
Nyatanya, tidak ada mana-mana parti politik di Malaysia yang berani
bertindak sedemikian rupa. Dengan itu, saya ingin mengingatkan kepada semua
pihak, setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala
negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan
dihormati.



71. Keduanya, berkaitan dengan cara parti memilih calon. KPI atau
Petunjuk Prestasi Utama termustahak bagi sesebuah parti politik ialah untuk
memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil. Dalam
memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita
akan mengubah kriteria menentukan calon.



72. Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang
diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat
kepada tiga peringkat penting, yakni, peringkat rakyat, peringkat parti dan
peringkat negara. Pada analisa akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat
dan akan memenangi pilihanraya.



73. Ketiganya, budaya berparti dalam UMNO haruslah bersifat inklusif
dan bukannya insular atau, terpulau. Lebih banyak program penataran yakni
"outreach" harus dilaksanakan. Dalam konteks ini, seperkara yang harus
diingat, ia tidak seharusnya terbatas kepada ahli UMNO semata-mata bahkan
hendaklah melebarluas kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu.



Tuan-tuan dan puan-puan,



74. Sebagai rentetan daripada ucapan saya tadi, jika ditoleh sejarah,
semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke
hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional, telah, sedang dan tetap menjadi
prioriti utama. Ini kerana, semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang
mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan
dapat diterjemahkan.



75. Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan
1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru.
Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan
wawasan utama pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu, yang diterjemahkan dalam
pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad.



76. Konsep 1Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya,
penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang
berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama
yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta
prinsip rukun negara.



77. Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak
sekali kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai
undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malah,
kita kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4,
perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam
Perlembagaan Persekutuan.



78. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana
atau menaruh syak jua bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang
telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa kita suatu ketika yang
lalu. Sesungguhnya matlamat akhir 1Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan
dan kepelbagaian kita di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan
bersama.



Tuan-tuan dan puan-puan,



79. Pokok pangkalnya, UMNO harus kekal menjunjung tradisi perjuangan.
Oleh kerana itulah, UMNO akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi
semua rakyat. Saya mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman.
UMNO tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong
kepada satu-satu pihak sahaja. Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak
mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran
atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti
yang menjuarai rakyat.



80. Khidmat UMNO harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro
kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil,
jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal.



Tuan-tuan dan puan-puan,



81. Kesimpulannya, UMNO adalah sebuah parti massa yang lahir menjunjung
aspirasi akar umbi bangsa untuk menebus maruah yang tergadai. Sejarah telah
menunjukkan apabila UMNO dekat dengan rakyat, apabila UMNO menyelami denyut
nadi mereka, maka rakyat akan memberikan sokongan kepada UMNO. Itulah
sebabnya apabila UMNO mempelopori penubuhan FELDA, MARA, TABUNG HAJI, LPP,
LKIM dan lain-lain agensi yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup
rakyat, kita dijulang menjadi parti yang kuat.



82. Oleh kerana itulah, tanpa kunjung jemu, UMNO meneruskan tradisi
membela rakyat. Bagi tahun 2009 sahaja, kerajaan yang diterajui UMNO telah
memperuntukkan sebanyak RM22 billion untuk membiayai pelbagai subsidi,
insentif dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat. Perkara
ini mampu dilakukan kerana kita telah mengurus kewangan dengan baik tanpa
perlu menaik mahupun mengenakan cukai tambahan.



83. Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak
pembangkang semata-mata kerana, air percuma dan sedikit kenaikan elaun.
Setidak-tidaknya ingatlah sedikit, akan jasa-jasa kerajaan pimpinan UMNO
yang telah berbudi selama puluhan tahun. Kata orang, janganlah kerana
kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan.



84. Faktanya, secara sedar atau tidak, sudah banyak yang pihak kerajaan
lakukan demi kesejahteraan hidup rakyat. Misalnya, di bawah sektor
pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9
bilion untuk petrol, LPG dan diesel; RM2 bilion untuk program rebet tunai,
lebih RM600 juta untuk pampasan tol; RM150 juta untuk kadar elektrik dan
RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur.



85. Berkaitan hal yang tersebut juga, kita adalah kerajaan yang empati
dan prihatin dengan keadaan sebenar hidup seharian rakyat, bukan sahaja di
desa, sementelahan juga kehidupan rakyat di kota kerana ada antaranya yang
masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pokoknya, rakyat
berasa lega bahawa mereka tidak sendirian dalam keluh kesah tentang makan
pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada
perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung.



86. Apa yang pasti kerajaan faham dan maklum isu ini. Misalannya, di
bawah sektor pertanian dan makanan, sejumlah hampir RM600 juta
diperuntukkan untuk subsidi padi, RM400 juta untuk beras, RM375 juta
untuk gula; RM275 juta untuk baja, RM210 juta untuk tepung gandum; dan RM89
juta untuk roti.



87. Selanjutnya, menyedari kepentingan pendidikan dan ilmu pengetahuan
sebagai kandil generasi masa depan, sejumlah RM2 bilion lagi telah
diagih-agihkan dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah terutamanya untuk
projek pelajar miskin. RM411 juta pula untuk bantuan pelajar IPTA ; RM374
juta untuk guru atau penyelia KAFA, tidak ditinggalkan elaun guru takmir
termasuk elaun imam serta elaun ketua-ketua kampung. Sebahagian lagi yakni
RM159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta pula diperuntukkan
untuk masyarakat Orang Asli.



88. Tidak dilupakan sebanyak RM850 juta lagi untuk menyediakan jaringan
keselamatan khusus kepada keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga
emas. Selain itu, dari bulan November 1997 hingga bulan Ogos 2009,
kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta
peminjam terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang
sangat rendah. Bersyukurlah kita atas kesemuanya ini.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



89. Sejak pasca pilihanraya ke-12, musuh-musuh politik UMNO telah mula
meramalkan kejatuhan parti keramat ini. Hatta banyak pihak yang tidak sabar
untuk menalqinkan UMNO. Kata mereka, UMNO sudah nazak dan hanya menanti
waktu. Sebenarnya ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Jangkaan ini
juga dibuat apabila Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan Parti Islam seMalaya
tertubuh akibat perpecahan dalam UMNO.



90. Telahan juga dilontar selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila kerajaan
Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga di mana banyak pemuka-pemuka UMNO
tewas dan kecundang. Andaian sebegini juga dibuat selepas pemilihan UMNO
1987 dan kemudiannya apabila terbentuk Parti Melayu Semangat 46. Ia juga
dicanang dengan kencang di pilihanraya umum 1999. Kendatipun begitu,
Alhamdulillah setiap kali ramalan ini timbul UMNO bangkit kembali sebagai
organisasi yang lebih kuat dan berpadu.



91. Merujuk keputusan pilihanraya umum ke-12, rakyat telah memberi
mesej yang jelas kepada kita. Justeru, kita sedar dan insaf. Kita tahu
rakyat masih sayangkan UMNO. Apa yang mereka inginkan hanyalah, agar UMNO
berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah.



92. Apa yang pasti, kelangsungan parti begitu penting, bukan untuk
pemimpin-pemimpin UMNO tetapi untuk bangsa, agama, negara dan rakyat
seluruhnya. Hakikatnya, setiap generasi kepimpinan UMNO menghadapi cabaran
yang tersendiri sesuai dengan masa dan zaman. Alhamdullilah, setiap cabaran
berjaya diatasi dengan perpaduan dan semangat yang kental. Sememangnya pun,
penubuhan UMNO merupakan hasil doa para ulamak, pendidik, petani, nelayan,
peniaga dan para mustada'afin serta rakyat keseluruhannya yang mahukan
kebebasan bermaruah.



93. Kata orang, jika kita bersatu hati, bersatu tekad dan membulatkan
usaha, maka kita akan berupaya bersama-sama mendaki ke puncak yang paling
tinggi menuruni cerun yang paling curam dan menyelami lautan yang paling
dalam.



94. Bahkan, sejarah menjadi saksi, orang-orang UMNO tidak pernah gagal
melakukan sesuatu tindakan hanya kerana ianya sukar. Sebaliknya, kita telah
berjaya, menggapai apa yang mustahil dengan berbekalkan semangat.



95. Siapa sangka bangsa yang pernah dimomok-momokkan sebagai lemah dan
tidak bersedia untuk bebas kendiri telah berjaya merebut kemerdekaan dari
kuasa besar dunia, bukan dengan jalan hujung senjata tetapi menggunakan akal
dan hujung lidah, berdiplomasi serta berunding dengan Inggeris. Siapa
sangka bangsa ini kemudiannya berjaya mengisi erti kemerdekaan tersebut
sehingga Malaysia muncul sebagai negara membangun yang termaju di dunia.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



96. Sesungguhnya, amanah besar ini tidak boleh dipikul oleh seorang. Ia
perlu dijinjing oleh satu jemaah, satu barisan yang tersusun rapi. Oleh itu,
saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib
Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan
yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di
bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru
dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya.
Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan
ini.



Tuan-tuan dan puan-puan,



97. Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah,
perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah, UMNO, satu-satunya
parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh
gilang-gemilang.



98. Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung
harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala
impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.



99. Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.



Kendati tergantung awan di langit,

Telah terlanjur kubentangkan layar,

Walau badai datang menggulung,

Walau berdentum guruh di langit,

Walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan.



Hidup UMNO! Hidup Melayu!



Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kami menyediakan langganan arkib ucapan 
melalui perkhidmatan
pangkalan data .