Berita-berita Lain
04 November, 2009 17:49 PM
Pengadil Terbaik Adili Final Piala Malaysia, Kata FAM
PETALING JAYA, 4 Nov (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menugaskan pengadil-pengadil terbaik bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata empat pengadil yang bertugas untuk perlawanan itu sudah pun diputuskan dan akan diketahui pada hari perlawanan.
"Pemilihan mereka adalah berdasarkan cadangan daripada Jabatan Pengadil FAM serta prestasi yang telah ditunjukkan sepanjang musim ini semasa mengadili saingan Liga Malaysia 2009," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM, di sini Rabu.
Azzuddin bagaimanapun berkata salah seorang pengadil terbaik negara, iaitu Subkidin Mohd Salleh tidak dapat menjadi pengadil perlawanan itu kerana berada di Nigeria atas tugasan menjadi antara pengadil yang terlibat dalam kejohanan bola sepak bawah 17 tahun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang sedang berlangsung.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan pengadil untuk perlawanan akhir itu yang dijangka dibanjiri 85,000 penonton kedua-dua pasukan.
Mengenai aspek keselamatan perlawanan itu, Azzuddin berkata pihaknya telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perlawanan akhir edisi ke-84 itu berjalan lancar.
"Kita akan memastikan keselamatan semua pihak terjamin dengan kawalan sebelum perlawanan dan selepas tamatnya perlawanan," katanya.
Pertemuan Kelantan dan Negeri Sembilan mempunyai sejarah tersendiri apabila penonton-penonton Kelantan pernah merusuh di luar Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Baharu semasa saingan separuh akhir pusingan pertama Piala FA, pada April lepas.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM, beliau berkata penghargaan seperti itu akan dapat memberikan inspirasi berterusan kepada pemain-pemain setiap tahun.
"Malah tahun ini ia lebih realistik apabila wujud panel pemilihan yang terdiri daripada FAM, media dan pihak-pihak lain yang terlibat di dalam bola sepak untuk memilih pemenang berbanding melalui sistem pesanan ringkas pada tahun lepas," katanya.
Edisi ke-3 anugerah berkenaan menyaksikan pemain Kelantan Indra Putra Mahayuddin dipilih sebagai pemain paling berharga dan penyerang terbaik Liga Malaysia 2009 sekaligus menerima trofi dan hadiah wang tunai RM3,000, mengetepikan dua calon lain iaitu, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Negeri Sembilan) dan kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah.
Senarai penuh pemenang:
-----------------------
Pemain paling berharga: Indra Putra Mahayuddin (Kelantan)
Penyerang terbaik: Indra Putra Mahayuddin (Kelantan)
Penjaga gol terbaik: Mohd Farizal Marlias (Perlis)
Pemain pertahanan terbaik : Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Negeri Sembilan)
Pemain tengah terbaik: Mohd Amri Yahyah (Selangor)
Jurulatih terbaik: K.Devan
Pemain harapan terbaik: Mohd Muslim Ahmad (Harimau Muda)
Kelab penyokong terbaik: KL Plus
Persatuan terbaik: Selangor
Kelab terbaik: Johor FC
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




