Berita-berita Lain
05 November, 2009 11:33 AM
B.Sathianathan Enggan Ramal Siapa Julang Piala Malaysia
KOTA BAHARU, 5 Nov (Bernama) -- Sambil merendah diri kekuatan Kelantan, ketua jurulatihnya B. Sathianathan tetap tidak memandang rendah kehebatan Negeri Sembilan dan menganggap peluang untuk kedua-dua pasukan menang adalah 50-50.
Beliau berkata bermain pada perlawanan akhir tidak sama seperti perlawanan sebelumnya kerana kedua-dua pasukan sememangnya memerlukan gol awal untuk pencetus semangat.
"Di sini juga semangat boleh dicetuskan oleh penonton dan sebab itu kehadiran penonton yang ramai juga boleh menaikkan semangat pemain tetapi pada masa yang sama kawalan emosi juga adalah sangat penting.
"Apa yang penting pemain tahu apa peranan mereka di tengah padang," katanya kepada pemberita sewaktu bersama-sama pemain Kelantan berlepas ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini, Khamis.
Sathianathan berkata apa yang boleh dijangka ialah kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang pada malam itu dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
"Kami tidak tertekan dengan ramalan yang dibuat ramai pihak dan kali ini adalah kemuncak perlawanan dan kami tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa tetap yakin Kelantan mempunyai peluang cerah untuk muncul juara kerana pengalaman bermain di perlawanan akhir Piala FA sebelum ini dapat diterjemahkan sekali lagi untuk berdepan Negeri Sembilan.
"Anggaplah Stadium Nasional Bukit Jalil seperti padang kita sendiri...dengan sorakan lebih 50,000 penyokong Kelantan boleh menaikkan semangat pemain untuk terus berjuang," katanya.
Annuar berkata Sabtu ini adalah peluang terbaik Kelantan mencipta sejarah baru selepas 1970 apabila tewas di tangan Perak pada perlawanan akhir piala berprestij itu.
-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan
berita melalui perkhidmatan Newswire.




