06 November, 2009 20:57 PM

Negeri Sembilan Selesa Status 'underdog'

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Walaupun dilabel sebagai pasukan 'underdog', Negeri Sembilan tetap mengharapkan kemenangan apabila turun beraksi menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Sabtu.

Jurulatihnya, Wan Jamak Wan Hassan berkata status itu membolehkan pemain-pemainnya beraksi tanpa tekanan bagi merebut piala yang paling berprestij dalam saingan Liga Malaysia itu.

"Ini akan memberikan satu keadaan yang tenang kepada pemain-pemain untuk mempamerkan aksi terbaik kerana jika berlaku tekanan pasti mudah untuk terjadi kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari Jumaat.

Wan Jamak berkata dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang termasuk hujan yang mungkin menjejaskan corak permainan dan kini terpulang kepada pemain-pemain untuk mengadaptasi keadaan terbabit kerana segala teknik dan taktik telah pun diajar.

"Saya juga merasakan rekod tiga kemenangan daripada empat pertemuan dengan Kelantan pada musim ini, adalah sesuatu yang tidak boleh dijadikan pengukur kekuatan pasukan lawan.

"Ia adalah berbeza apabila bermain di perlawanan akhir. Pasukan yang bermain dengan baik dan berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang akan menang," katanya.

Mengenai kekuatan lawan, bekas jurulatih kebangsaan pada 1996 hingga 1997 itu berkata sokongan penyokong skuad 'The Red Warriors' itu telah memberikan kekuatan kepada Kelantan.

'Sokongan itulah yang membuatkan pemain-pemain bermain dengan baik. Penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin juga merupakan pemain yang baik namun bola sepak memerlukan 11 pemain," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, B.Sathianathan berkata apa yang penting pada perlawanan akhir itu kedua-dua pasukan pastinya mempamerkan aksi terbaik dan sememangnya sudah bersedia.

"Kita juga telah bersedia termasuklah jika terpaksa mengharungi sepakan penalti kerana kita telah berlatih untuk sepakan penalti sejak memasuki pusingan suku akhir lagi," katanya.

Kelantan sebelum ini tewas 4-1 kepada Selangor pada perlawanan akhir Piala FA pada April lepas setelah terikat 1-1 pada masa permainan sebenar dan masa tambahan.

Untuk rekod, Kelantan belum pernah menjulang piala itu sejak diperkenalkan pada 1921 manakala Negeri Sembilan lebih bernasib baik apabila pernah menjulangnya pada 1948 ketika ia dikenali sebagai Piala HMS Malaya.

Barisan kemungkinan:

Kelantan: Mohd Halim Napi, Nazrulerwan Makmur, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Nizab Ayub, Mohd Farisham Ismail, Mohd Zamri Ramli, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Khairan Eroza Razali, Mohd Norfarhan Muhammad, Che Hishammudin Hassan, Indra Putra Mahayuddin.

Negeri Sembilan: Mohd Farizal Harun, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Syukor Adan, Mohd Syukri Ismail, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim, Shahurain Abu Samah, S.Kunalan, Hairuddin Omar, Mohd Zaquan Abdul Radzak.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.