07 November, 2009 10:58 AM

Laos Sudah Sedia Anjur Sukan Sea

Daripada Zulkefli Salleh

VIENTIANE, 7 Nov (Bernama) -- Laos, yang julung kali menjadi tuan rumah Sukan SEA bulan depan, telah bersedia dan semua sistem bagi menjayakan sukan berprestij di rantau ini, kata Naib Menteri Penerangan dan Kebudayaan Prof Dr Bosengkham Vongdara.

Kesemua venue bagi 25 jenis sukan dan 383 program serta persiapan logistik bagi penganjuran sukan kali ke-25 ini sudah sedia, katanya dalam satu kenyataan yang dikelaurkan semasa persidangan Menteri-menteri ASEAN dan Jepun, China serta Korea Selatan yang berakhir Jumaat.

"Berdasarkan kepada kemajuan kerja-kerja serta aktiviti, kami sekarang mengumumkan bahawa Laos bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan sukan itu dengan jayanya," katanya.

Pembinaan stadium baru dengan kapasiti 20,000 tempat duduk telah disiapkan dan satu majlis penyerahan diadakan pada 22 Sept lepas, katanya.

Menurut Vongdara, kompleks sukan nasional turut menempatkan dua stadium tertutup, gelanggang tenis, kolam renang, lapang sasar menembak dan memanah.

Beliau berkata upacara perasmian dan penutup sukan SEA serta perlawanan akhir bola sepak akan diadakan di Stadium Nasional.

Persekutuan Sukan Asia telah dijemput untuk melakukan pemeriksaan dan mengiktiraf piawaian teknikal dan beberapa keperluan lain bagi setiap venue sukan.

Tuan rumah turut membina satu perkampungan sukan SEA yang boleh menempatkan 4,000 katil dan telah pun diserahkan pada akhir September.

Vongdara berkata satu jawatankuasa kesihatan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkenaan telah mengemukakan langkah-langkah terhadap wabak Influenza A (H1N1) termasuk meletakkan peralatan membaca suhu badan di pintu pemeriksaan masuk.

Di sekitar bandar raya pula, suasana Sukan SEA sudah mula dirasai dengan gerai serta kedai cenderahati mula menjual barangan seperti baju-t dan pemegang kunci serta kain-kain pemidang Sukan SEA menghiasi jalan-jalan menjelang temasya sukan yang akan berlangsung pada 9 hingga 18 Dis.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.