07 November, 2009 17:16 PM

Po Tiger Muncul Juara Kejohanan WAIGTC

JOHOR BAHARU, 7 Nov (Bernama) -- Pasukan Po Tiger dari Brunei muncul juara pada Kejohanan Golf Amatur Berpasukan Dunia (WAIGTC) di lapangan Tanjung Puteri Resort di sini Jumaat.

Pasukan yang dibarisi oleh Seruji Setia, dengan handikap 0, Pengiran Adam Hattan (0), Sarjik Mokhtar (3) dan Dennis Koh (8) mengumpul catatan keseluruhan tiga puisingan sebanyak 703 pukulan bagi kategori gross.

Pasukan Australia, Skippy the Kangaroo muncul naib juara gross dengan 709 pukulan manakala tempat ketiga disandang oleh sebuah lagi pasukan Australia, The Revellers dengan 712 pukulan.

Bagi kategori nett menggunakan format 'stableford' pula dijuarai oleh pasukan Punjab dari Pakistan dengan 329 mata manakala naib juara pula ialah pasukan Tenee 2 dari Indonesia dengan 322 mata.

Sejumlah 32 pasukan mara ke pusingan akhir di sini selepas enam siri pusingan kelayakan di enam venue di seluruh negara.

Pada keseluruhan, sebanyak 136 pasukan mengambil bahagian pada kejohanan WAITGC edisi ke-16 tahun ini yang dianjurkan oleh Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia.

Pemain dari 14 negara termasuk Malaysia menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung selama tujuh bulan sejak Mac lalu.

-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.