Ikuti perkembangan cuaca dan jadual penanaman untuk elak kerugian [ 11m ago ]

Berita AM


Inti pati perbicaraan 1MDB Najib pada 10-11 Sept

Tarikh kemaskini: 14/09/2019
Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu ini dimaklumkan tentang dakwaan peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low dalam skandal 1MDB.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas Najib, menggambarkan Jho Low sebagai “pencatur politik dan penasihat tidak rasmi Najib”.

Berikut adalah inti pati keterangan Amhari Efendi, 43, seorang daripada saksi pendakwaan utama pada perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 10 Sept.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.



HARI 6 (10 Sept):



  • Amhari Efendi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low sudah mengenali Najib dan keluarganya, lama sebelum beliau sendiri kenal dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.

  • Beliau berkata Jho Low menceritakan tentang persahabatannya dengan Najib dan keluarga sebelum pertemuan pertama mereka di Pulau Pinang pada 2007.

  • "Kali pertama saya bertemu Jho Low, beliau menceritakan dengan aktif mengenai Najib dan keluarganya. Ia menunjukkan bahawa Jho Low telah mengenali Najib sejak sekian lama," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

  • Bagaimanapun, Amhari Efendi, bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau tidak mempunyai bukti bebas untuk menunjukkan bahawa Jho Low mengenali Najib lebih awal dan hanya bergantung kepada apa yang Jho Low memberitahunya.

  • Mahkamah Tinggi turut diberitahu bahawa terdapat kemungkinan berlangsung pertemuan sulit antara Najib dan Jho Low.

  • Saksi itu berkata beliau akan menyemak semula dengan Najib berkaitan arahan Jho Low sekiranya perkara itu terlalu rumit.
  • Merujuk kepada mukasurat 17 pernyataan saksi Amhari Effendi, Muhammad Shafee bertanya sama ada saksi itu menyemak semula dengan Najib berkaitan arahan Jho Low’, dan jawapan Amhari Efendi adalah, “ia bergantung kepada perkara yang dibincangkan”.

  • “Sekiranya perkara yang dibincangkan itu mengenai media sosial FB adakalanya kita semak, sebab benda itu mudah, kalau benda itu serius atau sangat rumit kita perlu kerap semak,” katanya.

  • Amhari Efendi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low adalah antara pencatur politik Najib, dan pembabitan beliau tidak hanya terbatas kepada perkara berkaitan 1MDB tetapi sebagai seorang daripada penasihat bekas perdana menteri itu berhubung rancangan politik dan pilihan raya di negara ini.

  • Saksi itu berkata Jho Low juga adalah penasihat tidak rasmi Najib kerana beliau merupakan seorang daripada individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Anggota Parlimen Pekan itu sehingga beliau dapat memberi nasihat dan berbincang dengannya.

  • Muhammad Shafee: Dalam pernyataan saksi kamu gambarkan Jho Low sebagai 'pencatur' (ahli strategi). Apa maksud kamu

  • Amhari Efendi: Dia merancang dan menyusun sesuatu perkara yang juga melibatkan strategi dan dia dapat membuat sesuatu berlaku.

HARI 7 (11 Sept):



  • Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kepada Selasa apabila bekas perdana menteri itu mengalami jangkitan konjunktivitis pada kedua-dua belah matanya dan beliau diberi cuti sakit selama dua hari.

  • Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk menangguhkan perbicaraan itu atas alasan perubatan dan ia juga tidak dibantah oleh pasukan pendakwaan.

  • Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad, at No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011, dan 19 Dis 2014.

  • Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013, dan 30 Ogos 2013.

  • -- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu