Sarawak tingkatkan infrastruktur taman negara [ 1h ago ]

Berita AM


Najib lindungi diri daripada tuduhan seleweng 1MDB - Saksi

Tarikh kemaskini: 25/09/2019
Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sengaja mengeluarkan minit mesyuarat oleh pemegang saham bagi melindungi dirinya daripada tuduhan penyelewengan 1MDB.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang juga bekas CEO Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau percaya minit mesyuarat berkenaan telah ditandatangani oleh bekas perdana menteri itu atas nasihat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low.

"Sekarang ini, setelah siasatan ke atas penyelewengan yang berlaku di dalam 1MDB telah didedahkan, baru saya faham bahawa minit oleh pemegang saham itu sengaja dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib pada 16 Sept 2009 untuk melindunginya daripada apa-apa tuduhan menyeleweng dan seterusnya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

"Ini kerana, dua hari selepas itu telah berlangsung satu mesyuarat BOD untuk membincangkan mengenai penggunaan dana daripada bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk memasuki satu projek usahasama dengan PetroSaudi iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh Prince Turki dan Tarek Obaid," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-13 kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Saksi pendakwaan kesembilan itu turut mengesahkan 'Minutes By Representative Of Holding Company Relating To Proceedings Of Subsidiary Company Pursuant To Section 147(6) Of The Companies Act 1965’ yang ditandatangani oleh Najib selaku pemegang saham melalui MOF Inc.

"Dokumen ini dikeluarkan bagi meluluskan penurunan kuasa kepada BOD TIA untuk membuat transaksi dalam amaun yang besar sebagaimana yang diperlukan oleh Seksyen 132C Akta Syarikat 1965 selaras dengan penukaran hak milik syarikat TIA kepada Kerajaan Persekutuan.

"Walaubagaimanapun, penurunan kuasa ini tidak merangkumi hal-hal lain sepertimana yang termaktub dalam Artikel 117 M&A 1MDB, contohnya...'affect the guarantee given by the Federal Government of Malaysia, national interest, national security or any policy of the Federal Government of Malaysia'.

"Oleh itu, walaupun dokumen ini ada dikeluarkan, ia tidak mengurangkan kuasa muktamad Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke atas 1MDB," jelasnya.

Terdahulu, Shahrol Azral, yang juga saksi penting pihak pendakwaan turut mengesahkan surat pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang dikeluarkan oleh Najib pada 17 Sept 2009.

Najib merupakan pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA






        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu