Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 16m ago ]

Berita AM


Projek Pulau Bidong tukar kepada projek Aria - Bekas CEO 1MDB

Tarikh kemaskini: 25/09/2019
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Projek Aria iaitu cadangan projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd. (PSI) adalah bagi menggantikan projek pembangunan Pulau Bidong, Terengganu yang tidak dapat diteruskan, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata pada ketika itu dana yang dimiliki oleh 1MDB adalah daripada Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang berjumlah RM4.3 bilion dan perancangan awal adalah untuk digunakan bagi pembangunan projek Pulau Bidong.

“Oleh kerana ketika itu terdapat konflik dengan pihak Kerajaan Terengganu dan Kerajaan Pusat pula mengambil alih TIA, maka pelan perancangan pembangunan Pulau Bidong tidak dapat diteruskan dan akan digantikan dengan perancangan JV bersama PSI ini.

"Walaupun penggunaan dana daripada IMTN ini tidak dibincangkan semasa mesyuarat khas BOD (ahli lembaga pengarah 1MDB) tetapi semua BOD beranggapan yang projek JV ini akan menggunakan dana IMTN kerana syarikat ketika itu tiada dana atau sumber kewangan yang lain selain daripada dana IMTN tersebut,” katanya.

Beliau berkata dana IMTN ini telah dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad dan RHB Bank Berhad atas nama TIA dan urusan kewangan syarikat pada masa itu diuruskan oleh Casey Tang (salah seorang pengarah eksekutif 1MDB).

Shahrol Azral, 49, berkata pembentangan projek usahasama itu dibuat oleh Casey Tang dan dinamakan Projek Aria di mana Projek Aria adalah cadangan projek usahasama antara 1MDB dan PSI.

“Dalam pembentangan tersebut, Casey Tang memaklumkan kepada semua BOD bahawa PSI adalah milik King Abdullah dari Arab Saudi sejak tahun 2000 lagi. Pada ketika itu BOD telah mencadangkan kepada Lembaga Pengarah agar JVCo ini diwakili oleh tiga orang wakil dari 1MDB dan tiga orang dari PSI bagi mengimbangi JV ini.

"Tan Sri Azlan (Azlan Mohd Zainol, ahli BOD 1MDB) mempersoalkan kenapa projek ini ingin dilaksanakan dengan cepat. Casey Tang memaklumkan bahawa pada 28 Sept 2009, akan diadakan majlis menandatangani perjanjian dengan PetroSaudi iaitu Prince Turki sebagai Board Of Advisor PSI yang turut akan ditandatangani oleh King Abdullah.

"BOD mencadangkan juga agar suntikan daripada PSI ke dalam JVCo. Ini dilakukan secara 50:50 iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus 'cash' (tunai) dan 50 peratus aset. BOD mengarahkan Casey Tang untuk meminta PetroSaudi menyuntik dana berjumlah US$1 bilion secara tunai ke dalam JVCo dan 1MDB juga US$1 bilion untuk imbangi JV tersebut,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata aset PSI juga perlu dinilai oleh jurunilai yang dilantik sendiri oleh 1MDB.

Shahrol Azral berkata mesyuarat telah diadakan pada 18 Sept 2009 di Royale Chulan, di sini untuk membentangkan kertas cadangan Projek Aria dan antara persetujuan yang dicapai di dalam mesyuarat itu adalah pihak BOD bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan PSI untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh BOD.

“Pembentangan oleh Casey Tang dalam mesyuarat BOD ini sebenarnya adalah bertujuan untuk menekankan dua perkara penting iaitu usahasama PSI-1MDB ini adalah projek G to G dan usahasama ini juga adalah kehendak CBOA (Chairman Board of Advisor) iaitu Datuk Seri Najib sendiri.

"Selepas itu, saya dimaklumkan oleh PSI melalui peguam mereka iaitu White & Case untuk menyegerakan pembukaan akaun syarikat JV ini iaitu 1MDB PetroSaudi JV.

"Saya arahkan Casey Tang untuk menguruskan pembukaan akaun itu. Casey Tang telah menguruskan pembukaan akaun JP Morgan (Swiss) yang ditukar daripada akaun BSI sebelum ini, berdasarkan mandat yang diberikan kepada beliau oleh BOD,” katanya.

Saksi penting itu berkata selain itu, pihak PSI telah lebih awal menubuhkan 1MDB PetroSaudi Limited iaitu syarikat JVCo yang akan dimaterai perjanjiannya kelak.

Shahrol Azral berkata tujuan pembukaan syarikat itu lebih awal daripada perjanjian yang dibuat adalah sebagai persediaan awal untuk pembukaan akaun JVCo.

Katanya ini adalah kerana pihak PSI telah menetapkan bahawa tarikh akhir perpindahan wang untuk memperoleh syer dalam JVCo adalah hanya dua hari selepas menandatangani perjanjian dengan PSI.

“Tempoh ini sangat suntuk dan segala persiapan seperti pembukaan akaun dan juga penubuhan syarikat perlulah dibuat terlebih dahulu,” katanya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes Najib.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu