Tabiat Membazir Rakyat Malaysia Sekat Usaha Pulih Alam Sekitar [ 23m ago ]

Berita AM


US$700 juta dana 1MDB dikatakan dipindah ke syarikat Jho Low - Saksi

Tarikh kemaskini: 25/09/2019
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sekiranya audit dikendalikan ia akan mendedahkan bahawa dana US$700 juta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke sebuah syarikat, yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa menjawab satu soalan semasa pemeriksaan ketua oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, satu audit akan mendedahkan bahawa US$700 juta dari US$1 bilion bagi satu usahasama 1MDB-Petro Saudi dipindahkan kepada syarikat Jho Low, Good Star Limited.

Sri Ram: Adakah US$1 bilion itu sudah dibayar

Shahrol Azral: Ya, sudah.

Sri Ram: Apakah yang audit itu akan dedahkan pada ketika itu

Shahrol Azral: Audit itu pada 2010 akan dapat mendedahkan bahawa kami melabur US$1 bilion dengan Petro Saudi International, tetapi US$300 juta telah masuk dalam syarikat usahawama itu (antara 1MDB dan Petro-Saudi) manakala US$700 juta telah dipindahkan ke sebuah lagi syarikat yang dikatakan milik Jho Low.

Sri Ram:Apa nama syarikat berkenaan

Shahrol Azral: Good Star Limited.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata tidak perlu satu langkah audit ke atas 1MDB memandangkan syarikat berkenaan sudahpun melantik firma akauntan Ernst and Young, dan satu laporan audit akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (Yang Diperbadankan) apabila ia telah bersedia.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu