UniMAP sasar 90 peratus kebolehpasaran graduan [ 18m ago ]

Berita AM


BOD 1MDB lulus program RM10 bilion untuk bangun semula Sungai Besi Airport & KLIFD - Saksi

Tarikh kemaskini: 25/09/2019
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meluluskan “Proposed Funding Programme” berjumlah sehingga RM10 bilion sebagai modal untuk menjalankan pembangunan semula Sungei Besi Airport dan Kuala Lumpur International Finance District (KLIFD) yang kini dikenali sebagai TRX.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata, ia dijalankan melalui Hybrid Programme dalam dua fasa membabitkan “Bridging Loan Facility dan 25 Year MTN Programme” yang beliau telah menandatangani resolusinya.

“Selepas itu, kami menerima pula cadangan PetroSaudi International Limited (PSI) untuk membeli ekuiti GDF Suez (syarikat tenaga, elektrik & gas di Perancis). PSI cadangkan melalui surat rasmi yang dihantar oleh pengarah PSI Patrick Mahony.

“Pada masa itu, Nik Faisal Ariff Kamil telah pun menyertai 1MDB sebagai Ketua Pengarah Pelaburan (CIO). Maka saya telah mengarahkan agar Nik Faisal meneliti cadangan ini dan membentangkan kertas kerja di dalam Mesyurat BOD,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Beliau berkata selain Nik Faisal, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang juga antara yang ditugaskan untuk menyediakan kertas kerja itu dan menyertai berbincangan bersama PSI.

Menurut Shahrol Azral, beliau percaya sepenuhnya kepada keputusan yang dibuat oleh mereka (Jho Low, Casey dan Nik Faisal) kerana Jho Low boleh meminta nasihat secara terus daripada perdana menteri (Najib).

“Namun selepas membuat kajian dan analisis terperinci, Nik Faisal setelah berbincang dengan Jho Low dan Casey Tang mendapati pelaburan dengan GDF Suez adalah berisiko tinggi,” katanya.

Tambahnya, mereka mencadangkan agar 1MDB memberikan pinjaman menurut perjanjian Nota Murabaha yang sedia ada, di mana di dalamnya ada peruntukan untuk pinjaman tambahan sehingga USD1 bilion kepada PSI walaupun ia memberikan pulangan yang lebih rendah, namun risiko yang ada juga lebih rendah berbanding pelaburan GDF Suez.

“Saya bersetuju dengan cadangan ini kerana saya selesa perkara ini telah dibincangkan dan dipersetujui oleh Jho Low. Ini kerana sebagaimana biasa, saya pasti bahawa Jho Low sudah mendapatkan nasihat Datuk Seri Najib terlebih dahulu sebelum mengemukakan idea ini.

“Atas dasar kerajaan kepada kerajaan (G-G) maka saya bersetuju untuk membentangkan cadangan pinjaman kepada PSI berjumlah USD500 juta tersebut mengikut proposal oleh Nik Faisal,” katanya.

Beliau berkata pada 5 Julai 2010, BOD telah mendengar pembentangan tersebut namun meminta beliau mendapatkan arahan dan mandat daripada Najib bagi memutuskan untuk kelulusan projek itu.

“Oleh itu, saya telah berjumpa dengan Datuk Seri Najib dalam Mesyuarat Khas bertarikh 21 Julai 2010 yang mana Datuk Seri Najib telah mengarahkan saya untuk membuat analisis risiko dan ‘due diligence’ atas pembelian saham ini. Beliau langsung tiada halangan untuk pelaburan tambahan ini dibuat,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu