'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 1h ago ]

Berita AM


Kerjasama 1MDB-PSI penting pada Najib - Bekas CEO 1MDB

Tarikh kemaskini: 25/09/2019
KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PetroSaudi International Limited (PSI) adalah srategik kerana PSI dan Arab Saudi penting kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau sebelum ini membuat permintaan kepada Jho Low supaya dana 1MDB memfokuskan kepada projek-projek tempatan sahaja.

Bagaimanapun Jho Low memberitahu hubungan dua hala itu penting untuk Najib.

“Secara amnya, dalam peringkat pengurusan 1MDB pada masa itu, kami membuat perancangan membuat pinjaman untuk projek-projek 1MDB di dalam negara sahaja.

“Apabila permintaan pelaburan atau pinjaman dari PSI ini diterima, saya terpaksa memberi keutamaan kepada PSI kerana ia adalah sesuatu yang penting dari perspektif Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat (1MDB),” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata perkara itu timbul selepas 1MDB memberi pinjaman mata wang asing berjumlah USD500 juta kepada 1MDB-PSI (syarikat usahasama JVCo).

“Setakat ingatan saya, Radhi Mohamed selaku ketua pegawai kewangan (1MDB) banyak membuat perbincangan dengan Joanna Yu dari Ambank sejak awal tahun 2010 lagi untuk meneroka idea-idea bagaimana untuk membuat pinjaman secara jangka pendek dan panjang bagi membiayai projek-projek 1MDB yang akan bermula seperti Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) atau kini dikenali sebagai Tun Razak Exchange (TRX) dan Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) kini dikenali sebagai Bandar Malaysia.

“Saya juga ada melihat ‘talking points’ yang disediakan oleh Jho Low untuk dibincangkan dengan Datuk Seri Najib yang ada kandungan idea-idea untuk membuat pinjaman ‘syndicated term loan’ ini,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA








        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu