'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 8m ago ]

Berita AM


BNM benarkan 1MDB beri pinjaman mata wang asing AS$330 juta kepada PetroSaudi BVI - bekas CEO 1MDB

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberikan kebenaran kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah US$330 juta kepada PetroSaudi BVI pada Mei 2011.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, pada hari ke-14 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan itu mengesahkan surat bertajuk 'Kebenaran BNM berkenaan pemberian pinjaman mata wang asing kepada bukan pemastautin bertarikh 20 Mei, 2011".

"Pihak BNM telah merujuk kepada permohonan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Radhi Mohamad bertarikh 18 Mei, 2011 serta mesyuarat antara pihak 1MDB dengan BNM pada keesokan hari iaitu pada 19 Mei, 2011, yang memberikan kebenaran kepada 1MDB untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah US$330 juta kepada PetroSaudi BVI," katanya.

Saksi juga dirujuk surat daripada AmBank Berhad kepada 1MDB bertajuk "Confirmation of a foreign exchange transaction" bertarikh 20 Mei, 2011.

"Surat ini adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang sejumlah US$30,000,000 ke akaun bernombor 11116073.2000, di mana beneficiary bagi akaun ini adalah atas nama PetroSaudi International Limited (PSI)," katanya.

Katanya, arahan untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 adalah daripada CEO PSI, Tarek Obaid berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei, 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

Ketika dirujuk kepada surat 'remittance instruction daripada 1MDB kepada AmIslamic berkenaan 'FX confirmation' bertarikh 23 Mei, 2011, saksi berkata surat itu adalah pemberitahuan kepada bank itu berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun PetroSaudi International Limited berjumlah US$65,000,000.

Shahrol Azral juga dirujuk kepada 'Letter of Instruction (FX Deal) daripada 1MDB kepada Deutsche Bank berkenaan 'remittance of US$110 million” bertarikh 27 Mei, 2011.

Katanya, surat itu adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berjumlah US$110,000,000 dan beneficiary bagi akaun itu adalah akaun nombor 11116073.2000.

"Saya mendapat arahan daripada Tarek Obaid untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei, 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

"Arahan untuk menggunakan benificiary name account number 11116073.2000 adalah berdasarkan surat daripada Tarek Obaid bertarikh 25 Mei, 2011," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu