Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 33m ago ]

Berita AM


1MDB buat 'draw down' RM715 juta bangunkan TRX dan Bandar Malaysia - Saksi

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah membuat 'draw down' sebanyak RM715 juta daripada Syndicated Term Loan (STL) membabitkan projek Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) atau kini dikenali Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata perbelanjaan projek itu mengikut fasa yang dirancang yang mana jumlah RM715 juta itu bukan untuk dibelanjakan sekaligus.

Shahrol Azral berkata pengeluaran itu dibuat pada 7 Mac, 2011 dan beliau menandatangani surat untuk proses wang berkenaan.

“Pada masa sama, satu permintaan ‘draw down’ sebanyak US$750 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Limited (PSI), Tarek Obaid ada diterima oleh saya pada 11 Mac, 2011.

"Saya terus membuat perbincangan dengan Jho Low (Low Taek Jho) mengenai permintaan 'draw down' ini dan meminta pandangan ahli perniagaan itu sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan penambahan pelaburan berkenaan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan 1MDB.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata dalam perbincangan itu, Jho Low telah memberi cadangan untuk mengadakan Mesyuarat Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat (CBOA) 1MDB yang mengandungi keputusan Najib mengenai isu berkenaan.

"Dalam masa sama, ada juga cadangan dari Jho Low untuk 1MDB membuat pelaburan di dalam sektor hotel di United Kingdom bersama pihak Aabar Investment.

"Cadangan itu juga ada dimasukkan ke dalam minit mesyuarat berkenaan yang telah disediakan oleh Jho Low dan perniagaan itu turut mendapatkan tandatangan serta kelulusan Najib untuk penambahan pelaburan US$750 juta dengan JVCo PSI (syarikat usahasama 1MDB dan PSI).

“Minit yang telah ditandatangani diberikan kepada saya di pejabat 1MDB. Saya menandatangani minit ini sebagai 'secretary' selepas melihat tandatangan Najib,” kata saksi penting pendakwaan itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu