'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 46m ago ]

Berita AM


Jho Low arah dokumen sulit usaha sama 1MDB-PSI dimusnahkan - Bekas CEO 1MDB

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan supaya maklumat sulit dan sensitif berhubung projek usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) dimusnahkan kerana jika dokumen itu disalahgunakan akan menggugat kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, bagaimanapun berkata ada dokumen yang beliau tidak sempat musnahkan sebagaimana arahan Jho Low berkemungkinan kerana beliau terlepas pandang .

“Bagi setiap dokumen “talking points atau action plan” serta emel-emel yang saya terima daripada Jho Low, beliau akan sentiasa berpesan kepada saya untuk pastikan dokumen-dokumen tersebut dimusnahkan atas alasan ia mengandungi maklumat yang amat sulit dan sensitif dan boleh disalahgunakan untuk menggugat kedudukan Datuk Seri Najib secara politik sekiranya ia jatuh ke tangan yang salah,” katanya.

Merujuk kepada “talking points” daripada Jho Low bertajuk “Background – Joint Venture Between PetroSaudi (PSI) and 1MDB”, saksi itu berkata seingat beliau “talking points” itu diberikan kepadanya sebagai menjawab persoalan-persoalan yang perlu pihak 1MDB menjawab kepada rakyat berhubung isu 1MDB.

“Talking points ini mengandungi butiran terperinci usaha sama dengan PSI bermula dengan sejarah penubuhan PSI dan hubungan syarikat PSI dengan Raja Abdullah dan berakhir dengan penamatan perjanjian pinjaman Murabaha.

Dokumen ini adalah satu contoh talking points yang digunakan oleh Jho Low untuk memastikan segala tindakan yang saya ambil adalah mengikut kehendaknya. Setiap kali dokumen talking points seperti ini diserahkan kepada saya, Jho Low akan memberitahu bahawa isi kandungannya telah dibincangkan dan dipersetujui oleh Datuk Seri Najib.

Saya rasa beliau tidak berbohong mengenai perkara itu kerana kebanyakan masa, saya rujuk semula isi kandungan talking points yang Jho Low serahkan kepada saya, Datuk Seri Najib tidak pernah mengatakan beliau tidak setuju dengannya dan hanya akan meminta atau mengarahkan saya untuk mengambil tindakan susulan mengikut kandungan talking points tersebut,” katanya.

Beliau berkata antara talking points” yang diberikan Jho Low kepadanya melalui emel ialah “PetroSaudi Joint Venture 2009 & Murabaha Facility 2010”, “Surat daripada Royal Embassy of Saudi Arabia Kuala Lumpur kepada YAB Dato Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak berkenaan Letter of Support re PetroSaudi International bertarikh 11 May 2011”, dan “Surat daripada Ambassador of Malaysia Kingdom of Saudi Arabia kepada 1MDB berkenaan re: letter of confirmation re PetroSaudi International bertarikh 7 May 2011”.

“Talking points” itu juga mengandungi butiran usaha sama 1MDB-PSI dan disertai surat-surat dari Duta Arab Saudi yang menyokong syarikat PSI, Duta Malaysia ke Arab Saudi yang menyokong Prince Turki dan Tarek Obaid (CEO PSI) yang menyatakan status baik syarikat PSI,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata secara amnya, dokumen-dokumen sokongan itu adalah untuk memberikan keyakinan bahawa PSI adalah syarikat yang mempunyai reputasi yang baik dan boleh dipercayai.

Membacakan penyataan saksi setebal 270 muka surat, Shahrol Azral berkata merujuk kepada “Director Circular Resolution in writing passed pursuant to the Company Article of Association on proposed repayment and termination of murabaha facility agreement dated 20 June 2012” ia bertujuan untuk pembayaran bagi melangsaikan hutang Murabaha PSI dan menamatkan perjanjian Murabaha tersebut.

Katanya transaksi itu diaturkan oleh Jho Low dan diuruskan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB) supaya wang 1MDB yang dipinjamkan kepada PSI boleh dibawa pulang secara berperingkat.

“Berdasarkan action plans yang disalinkan kepada saya melalui emel daripada Jho Low kepada Jasmine Loo, segala tindakan pertukaran Nota Murabaha kepada ekuiti PSOSL (PetroSaudi Oil Services) dan seterusnya ke dalam bentuk fund units telah ditaklimatkan kepada Datuk Seri Najib dan dipersetujui oleh beliau,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.

Semalam saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jho Low mencadangkan supaya projek usaha sama antara 1MDB dan PSI yang tidak aktif diubah dari bentuk ekuiti kepada bentuk Nota Murabaha kerana 1MDB tidak boleh menamatkan usaha sama itu begitu sahaja kerana ia melibatkan hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu