Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 21m ago ]

Berita AM


Jho Low jadi "matchmaker" perjumpaan Najib dengan CEO Goldman Sachs di New York - Saksi

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Low Taek Jho atau Jho Low menjadi “matchmaker” antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pegawai Eksekutif CEO Goldman Sachs (Global) iaitu Llyod Craig Blankfein yang mengadakan perjumpaan di Hotel Four Seasons, New York pada 2009 untuk membincangkan kerjasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Goldman Sachs bagi pelaburan di luar negara.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata pada akhir bulan November 2009, Najib yang juga Perdana Menteri ketika itu telah mengadakan satu pertemuan dengan para pelabur asing di New York, USA.

Pada masa itu, beliau telah menerima permintaan daripada Jho Low untuk terbang ke New York untuk bersama-sama Perdana Menteri berjumpa dengan pelabur yang berminat untuk berurusan dengan 1MDB.

Saksi penting itu berkata, beliau terbang ke USA dengan Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin (pengerusi 1MDB) pada 21 Nov, 2009 untuk berjumpa dengan delegasi Perdana Menteri dan pelabur asing itu.

“Seingat saya keesokan harinya iaitu 22 Nov, 2009, telah diadakan perjumpaan antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib dengan CEO Goldman Sachs (Global) iaitu Llyod Craig Blankfein. Jho Low dan Tim Leissner (CEO Goldman Sachs Asia) telah menjadi matchmaker untuk pertemuan itu.

Jho Low sebagai fasilitator kepada Datuk Seri Najib manakala Tim Leissner ialah fasilitator kepada Llyod Craig Blankfein. Saya nampak pada masa itu Jho Low dan Tim Leissner sangat rapat berdasarkan “body language” dan perbualan mereka.

Perjumpaan itu dibuat di suite Datuk Seri Najib iaitu di Hotel Four Seasons, New York.” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-14 kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1MDB.

Shahrol Azral berkata beliau difahamkan oleh Jho Low bahawa pertemuan itu antara lain adalah untuk membincangkan tentang kerjasama antara 1MDB dengan Goldman Sachs bagi pelaburan di luar negara.

Beliau berkata, seingatnya pada masa itu, Najib memaklumkan kepada Llyod meminta Goldman Sachs untuk “support dan consult” pelaburan-pelaburan 1MDB kerana kepakaran Goldman Sachs dalam bidang kewangan dan pelaburan.

“Seingat saya, ada sedikit perbincangan mengenai sektor-sektor pelaburan 1MDB seperti sektor tenaga, hartanah, pelancongan dan pertanian.

Saya beranggapan bahawa pada masa itu, Perdana Menteri meminta Goldman Sachs untuk komited terhadap 1MDB. Selepas pertemuan itu keyakinan saya terhadap sebarang urusan perundingan kewangan melalui Goldman Sachs adalah semakin tinggi,” katanya.

Beliau berkata, bermula daripada pertemuan tersebutlah, apabila ada cadangan Jho Low untuk membawa masuk Goldman Sachs (Financial Advisor) ke dalam perundingan kewangan dan pelaburan 1MDB, beliau beranggapan ia dibuat dengan pengetahuan Perdana Menteri.

Katanya, beliau menerima cadangan oleh Jho Low untuk menggunakan Goldman Sachs dengan “good faith” kerana pertemuan peringkat tertinggi telah dibuat antara Perdana Menteri dan CEO Goldman Sachs Global bagi kerjasama itu.

“Salah satu sektor pelaburan dalam strategi business 1MDB adalah sektor tenaga.

Idea awal untuk melabur dalam sektor Independent Power Producer (IPP) adalah bermula pada awal Mei 2010, yang mana pasukan dalaman (pasukan pelaburan dan strategi) telah membentangkan strategi 1MDB yang mana mereka mendapat hasil kajian terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap janaan kuasa elektrik di Semenanjung Malaysia sebelum tahun 2016,” katanya.

Saksi itu berkata, pada tahun 2010, beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu Najib untuk memaklumkan cadangan strategi dan pelaburan dalam IPP oleh 1MDB.

“Datuk Seri Najib telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (portfolio Unit Perancang Ekonomi) pada masa itu iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk mengkaji cadangan ini,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu