Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 30m ago ]

Berita AM


Arul Kanda nasihat ahli lembaga pengarah 1MDB tidak bercakap dengan media - Saksi

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menasihatkan ahli lembaga pengarah (BOD) syarikat itu supaya tidak bercakap dengan media mengenai laporan berkaitan 1MDB pada 2015, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang juga bekas CEO 1MDB sebelum Arul Kanda, berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1MDB.

Sri Ram: Laporan media mengenai apa

Shahrol Azral: Kalau tak silap saya, mereka menumpukan kepada US$700 juta pertama yang dipindahkan oleh saya kepada Good Star Ltd, di mana Jho Low adalah benefisiari syarikat itu.

Sri Ram: Adakah ahli BOD bercakap dengan media

"Saya tidak ingat mana-mana ahli lembaga bercakap secara terbuka. Soalan-soalan itu datang daripada Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara serta mana-mana pihak dalam kerajaan sahaja," katanya.

Shahrol Azral dilantik sebagai CEO 1MDB pada 23 Mac 2009, manakala Arul Kanda dilantik pada 2015.

Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low memberikan ‘talking points’ atau perkara perlu dicakap mengenai 1MDB walaupun selepas beliau tidak lagi menjadi CEO.

"Saya menerima emel dan pesanan BlackBerry Messenger mengenai talking points daripada Jho Low mengenai bagaimana untuk memberi respons kepada soalan mengenai 1MDB pada 2015, selepas saya meninggalkan syarikat itu. Ia termasuk maklumat mengenai kerjasama PSI, daripada bagaimana PSI (PetroSaudi International Ltd) dibentuk, kaitan PSI dengan Raja Abdullah hinggalah penamatan perjanjian pembiayaan Murabahah," katanya.

Semasa ditanya sama ada beliau ingat sebarang topik 1MDB yang Najib memberitahu kepada umum, saksi itu berkata beliau tidak ingat yang bekas perdana menteri itu bercakap mengenai kerajaan Arab Saudi.

"Beliau mungkin menyentuh mengenai kuota haji," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu