Econpile perolehi kontrak RM26.1 juta bagi WCity OUG [ 1m ago ]

Berita AM


Jho Low tanya saya sama ada mahu pindah ke Pemandu - Bekas CEO 1MDB

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, Sept 26 (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menawarkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk berpindah ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, semasa menjelaskan perkara itu berkata pada akhir 2012, Jho Low bertanya kepada beliau sama ada beliau berminat untuk berpindah ke Pemandu, unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Saya katakan kepada dia saya berkhidmat untuk Perdana Menteri (PM). Kalau PM mahu saya pergi, saya pergi.

"Bagaimanapun, saya memberitahunya (Jho Low) bahawa saya rasa banyak perkara yang belum diselesaikan di 1MDB terutamanya projek hartanah TRX, Bandar Malaysia serta rancangan kami untuk meningkatkan IPP di Malaysia," katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk seri Najib Tun Razak berkaitan dana 1MDB.

Sri Ram: PM di sini, kami maksudkan tertuduh

Shahrol Azral: Ya

Sri Ram: Apakah hasilnya

Shahrol Azral: Saya terkejut dimaklumkan Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin semasa mesyuarat BOD pada Januari atau Februari 2013, bahawa saya akan dipindahkan Pemandu.

"Saya menerima surat pelantikan ke Pemandu pada Februari yang menyatakan tarikh kuat kuasa saya sebagai pengarah di Pemandu pada 15 Mac 2013.

Sri Ram: Ada surat itu

Shahrol Azral: Mungkin di rumah saya.

Sri Ram kemudiannya meminta saksi mengemukakan surat itu kepada mahkamah pada Isnin ini.

Ketika ditanya mengenai Pemandu, saksi itu menjelaskan bahawa ia merupakan unit di bawah JPM, yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jalal untuk memacu pelaksanaan program transformasi ekonomi.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu