Tabiat Membazir Rakyat Malaysia Sekat Usaha Pulih Alam Sekitar [ 25m ago ]

Berita AM


Najib luluskan pengambilalihan Tanjong Energy pada RM10.6 bilion - saksi

Tarikh kemaskini: 26/09/2019
KUALA LUMPUR, 26 Sept -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan cadangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi pengambilalihan syarikat Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion pada Februari 2012.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau yakin Najib yang memegang portfolio Menteri Kewangan ketika itu tahu mengenai butiran transaksi berdasarkan nota maklumat yang diberikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low melalui emel dan BlackBerry Messenger (BBM).

"Malahan, dalam proses pengambilalihan itu, Jho Low ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib yang membuat permintaan jaminan dari International Petroleum Investment Co (IPIC) secara panggilan peribadi kepada Crown Prince of Abu Dhabi sendiri.

"1MDB Energy Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat 1MDB telah mengambil alih TEHSB pada harga bidaan bernilai RM10.6 bilion dan Datuk Seri Najib telah menandatangani dokumen ini atas kapasiti beliau sebagai pemegang ‘Saham Khas’ melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)," katanya sambil merujuk kepada dokumen pemegang saham bertajuk “Proposed Acquisition of The Entire Equity Interest TEHSB” bertarikh 9 Feb 2012.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Ketika ditanya Sri Ram bagaimana Najib menandatangai dokumen kelulusan itu, Shahrol Azral berkata kesemua perkara itu diuruskan oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Saksi itu berkata selang lebih kurang sebulan selepas Najib meluluskan pembelian TEHSB, mesyuarat kedua ahli lembaga pengarah (BOD) diadakan pada 2 Mac 2012 untuk membentangkan status dan mendapatkan kelulusan BOD bagi menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA).

"Jasmine Loo yang membentangkan kertas kerja dan agenda dalam mesyuarat ini kerana ia merupakan tanggungjawabnya kerana beliau dan pasukannya merupakan pakar dalam bidang ini. BOD kemudian meluluskan SPA tersebut bagi ditandatangani oleh saya," katanya.

Terdahulu, Shahrol Azral, 49, dalam keterangannya berkata beliau merasakan penjualan saham TEHSB oleh hartawan terkenal Ananda Krishna merupakan satu peluang baik yang ditunggu 1MDB untuk menceburi bidang tenaga di Malaysia, sekaligus membolehkan sektor tenaga berada di bawah kendalian syarikat milik kerajaan iaitu 1MDB.

"Jho Low berkata Datuk Seri Najib mahu 1MDB membesarkan idea syarikat janakuasa elektrik untuk menjadi seperti syarikat Électricité de France (EDF) iaitu sebuah syarikat IPP (Penjana Kuasa Bebas) yang besar di Perancis.

"Cadangan untuk pembelian Independent Power Producers (IPP) ini kemudian dibawa oleh Jho Low dan rakannya Tim Leissner dan saya bersetuju kerana idea ini memang masuk akal dan boleh memberi keuntungan kepada 1MDB dan Malaysia," katanya yang mendapat idea itu ketika dijemput Mudabala Investment Company untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Abu Dhabi di mana jemputan itu diaturkan oleh Jho Low sendiri.

"Mereka kembali semula kepada saya dengan maklumat tambahan berhubung penjualan itu dan mengesahkan maklumat bahawa TEHSB akan dijual. Pada masa itulah pihak Goldman Sachs mula terbabit dalam proses pembelian TEHSB secara tidak rasmi,” katanya.

Menurut Shahrol Azral, pembabitan Goldman Sachs seingatnya telah wujud sejak Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) lagi sebagai penasihat kewangan dengan pegawai sama dari Goldman Sachs iaitu Roger Ng dan Tim Leissner yang sangat rapat dengan Jho Low.

“Goldman Sachs diwakili oleh Tim Leissner dan Jasmine Loo pula adalah individu yang membawa masuk Goldman Sachs bagi membantu 1MDB sebagai perunding kewangan bagi proses pembelian IPP ini.

“Pada masa ini saya beranggapan yang Jho Low adalah orang yang amat rapat dengan Najib dan sentiasa memberikan status terkini 1MDB kepada Najib. Jasmine Loo pula adalah bekas pegawai kepada Jho Low semasa bekerja di Utama Banking Group (UBG) Berhad dan mempunyai hubungan yang rapat dengannya,” katanya.

Shahrol Azral berkata pada 7 Feb 2012, Goldman Sachs telah menghantar surat lantikan kepadanya sebagai Pengarah Urusan dan CEO 1MDB bertujuan untuk mendapatkan kelulusan 1MDB bagi melantik Goldman Sachs (Malaysia) Sdn Bhd (GSMSB) sebagai penasihat kewangan untuk urusan pengambilalihan TEHSB.

"Beberapa butiran telah ditetapkan seperti pembayaran fi transaksi perkhidmatan sebanyak 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai pengambilalihan syarikat TEHSB secara tunai. Namun, jika pihak 1MDB menghentikan atau membatalkan urusan pengambilalihan TEHSB pada pertengahan urus niaga pengambilalihan TEHSB tersebut atas sebab-sebab tertentu, fi transaksi perkhidmatan adalah sebanyak 30 peratus daripada nilai pengambilalihan TEHSB secara tunai.

"Saya perlu menandatangani surat lantikan ini kerana Goldman Sachs tidak boleh membuat pembentangan di mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) tanpa pengesahan bertulis daripada 1MDB walaupaun syarikat itu sudah menjalankan kerja-kerja semenjak bulan November 2011 lagi," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu