'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 12m ago ]

Berita AM


Intipati perbicaraan Najib berhubung dana 1MDB dari 23-26 Sept

Tarikh kemaskini: 28/09/2019
KUALA LUMPUR, 28 Sept -- Satu demi satu keterangan yang menggemparkan didedahkan semasa perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini minggu ini.

Pada perbicaraan, nama ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho, atau Jho Low berulang kali disebut oleh bekas ketua pegawai eksekutif Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudian dijenamakan kepada 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Ini adalah antara intipati keterangan yang diberikan oleh Shahrol Azral, 49, salah seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dari 23 hingga 26 Sept.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

HARI KE-11 (23 Sept):

  • Shahrol Azral berkata Jho Low rapat dengan Najib dan mempunyai akses untuk bertemu Najib sama ada di rumah bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta di sini atau di Sri Satria Putrajaya, kediaman rasmi Najib.

  • Saksi itu berkata, dia pertama kali mengetahui mengenai hubungan rapat Jho Low dengan Najib - yang ketika itu timbalan perdana menteri (DPM) dan menteri kewangan - apabila dia menyertai TIA pada 2009.

  • Jho Low membawa saya ke rumah Datuk Seri Najib dan nampaknya dia kelihatan seperti sudah biasa dengan pelbagai kawasan di kediaman," kata saksi itu, sambil menambah bahawa sebaik sahaja mereka tiba di pintu pagar depan, Jho Low diberi akses segera ke kawasan itu dan sebaik berada di kediaman, dia meminta 'milo ais' dari pembantu rumah sebelum bertemu dengan Najib.

  • Ketika membacakan pernyataan saksi setebal 270 muka surat , Shahrol Azral berkata dia ditekan oleh Jho Low untuk mendapatkan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi projek TIA.

  • Beliau berkata Jho Low mahu beliau berbuat demikian dengan alasan bahawa Najib dan DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) meminta beliau mempercepatkan program mengumpul dana kerana operasi TIA bermula tanpa sebarang dana.



HARI KE-12 (24 Sept)



  • "Saya pada mulanya dimaklumkan oleh Jho Low bahawa ada cadangan oleh kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan jaminan kerajaan (GG) untuk pinjaman RM5 bilion oleh TIA untuk menambah dana dalam TIA. GG akan digunakan untuk menjamin pinjaman oleh TIA yang akan dibuat melalui terbitan bon IMTN melalui bank tempatan. Program terbitan bon IMTN bernilai RM5 bilion selama 30 tahun, sebenarnya bermula sebelum saya menyertai TIA, " katanya.

  • Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Sultan Mizan Zainal Abidin murka berhubung isu pinjaman bon RM5 billion IMTN yang dimohon oleh TIA.

  • Shahrol Azral berkata Sultan Mizan yang ketika itu Yang Di-Pertuan Agong kemudian menitahkan supaya penerbitan IMTN digantung dan ditangguhkan sehingga terma-terma dalam resolusi dipatuhi.

  • "Pada 22 Mei 2009, saya menerima arahan mengejut dari Tuanku Mizan untuk datang ke Istana Terengganu bersama Tan Sri Ismee Ismail (pengarah TIA) untuk menghadap baginda secepat mungkin. Apabila tiba, Ismee dan saya diiringi ke bilik persidangan Tuanku Mizan dan Tengku Rahimah (kakakanda Sultan Mizan) kemudian berangkat tiba.

  • "Tuanku Mizan menunjukkan dokumen resolusi yang ditandatangani oleh Tengku Rahimah. Daripada apa yang saya ingat, Baginda menitahkan” Sila tandatangani resolusi ini, anda boleh membacanya jika anda mahu.”

  • “Saya terkejut dan dapat merasakan ada sesuatu yang tidak betul kerana Tuanku Mizan kelihatan murka. Saya memandang kepada Ismee tetapi tidak berkata apa-apa, walaupun saya tertanya-tanya mengapa Tuanku murka mahu saya menandatangani resolusi," kata Shahrol Azral.



HARI KE-13 (25 Sept)

  • Bagaimanapun, saksi itu berkata Najib telah mengarahkan perjanjian pinjaman bon RM5 bilion diteruskan walaupun Sultan Mizan Zainal Abidin murka dengan pelaksanaannya dan menitahkan bon digantung dan penerbitannya ditangguhkan.

  • Shahrol Azral juga berkata Jho Low adalah perancang Najib dalam urusan 1MDB.

  • Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata anggapannya diperkuat oleh fakta bahwa Najib akan menegaskan, setiap kali dia menyemak dengan perdana menteri, setiap arahan yang diberikan oleh Jho Low kepadanya.

  • "Oleh itu, saya sangat yakin bahawa Jho Low memainkan peranan sebagai perancang untuk Datuk Seri Najib melaksanakan semua rancangan mereka dalam 1MDB.

  • Shahrol Azral mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Najib dengan sengaja mengeluarkan minit mesyuarat pemegang saham untuk melindungi dirinya daripada dakwaan penyelewengan 1MDB.

  • Saksi itu berkata dia percaya minit mesyuarat telah ditandatangani oleh bekas perdana menteri itu atas nasihat Jho Low.



HARI KE-14 (26 Sept)

  • Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa pengambilalihan TIA oleh 1MDB adalah untuk menyembunyikan penyelewengan Najib dalam bon IMTN sebanyak RM5 bilion.

  • Berdasarkan apa yang saya tahu sekarang, saya percaya pengambilalihan TIA oleh 1MDB telah dirancang oleh Jho Low dengan mendapat restu Datuk Seri Najib untuk menyembunyikan penyelewengannya semasa terbitan bon IMTN bernilai RM5 bilion dengan jaminan kerajaan pada Mei 2009,” katanya.

  • Saksi itu juga mendedahkan bahawa US$700 juta dari 1MDB dipindahkan ke syarikat Jho Low, Good Star Limited.

  • .Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Jho Low menyerahkan empat keping cek berjumlah US$100 juta yang didakwa sebagai “derma” daripada keluarga diraja Saudi kepada Tabung Amanah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi diberitahu untuk tidak menunaikannya.

  • Shahrol Azral mengesahkan empat cek yang diterimanya daripada Jho Low pada September 2019 apabila dia dirujukkan dokumen itu oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan semasa pemeriksaan utama.

  • "Ya. Saya menerima cek-cek ini dari Jho Low. Dia mengarahkan saya menyimpan cek-cek tersebut dan jangan berbuat apa-apa, sehingga dia memberi arahan,” katanya.

  • Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa syarikat pengeluar filem Hollywood Red Granite Pictures (syarikat yang mengeluarkan filem The Wolf of Wall Street) yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz telah menerima US$9 juta (kira-kira RM38 juta) sebagai pendahuluan untuk pembikinan filem itu dari Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Jho Low.

  • Berdasarkan dokumen yang dikemukakan di mahkamah, dinyatakan bahawa sejumlah US$9 juta dibayar kepada "Red Granite Productions, Inc." ke akaun di City National Bank Los Angeles.

  • Ia menyatakan bayaran itu ialah sebagai pendahuluan untuk Wolf of Wall Street Movie untuk ACHL" bertarikh 10 Sept 2012.

  • Ini didedahkan apabila Shahrol Azral disoal oleh Sri Ram semasa pemeriksaan utama.

  • Saksi itu juga berkata Jho Low bertindak sebagai “matchmaker” antara Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldman Sachs (Global), Llyod Craig Blankfein untuk pertemuan di Four Seasons Hotel, New York pada 2009 untuk membincangkan kerjasama antara 1MDB dan Goldman Sachs dalam pelaburan luar negara.

  • Pada 22 Nov 209, satu mesyuarat telah diadakan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs (Global), Llyod Craig Blankfein. Jho Low dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia) adalah matchmaker untuk mesyuarat itu.

  • "Jho Low adalah fasilitator untuk Datuk Seri Najib manakala Tim Leissner menjadi fasilitator kepada Llyod Craig Blankfein. Saya mendapati pada masa itu, Jho Low dan Tim Leissner sangat dekat berdasarkan "bahasa badan" dan perbualan mereka. Mesyuarat itu diadakan di suite Four Seasons Hotel, New York yang Najib menginap, " katanya.

  • Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin.

  • -- BERNAMA














        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu