Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Berita AM


Saksi anggap bayaran AS$576,943,490 kepada Aabar dipersetujui Najib

Tarikh kemaskini: 30/09/2019
KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah mempersoalkan siapa yang menentukan jumlah pembayaran deposit sekuriti sebanyak US$576,943,490 kepada Aabar Investment PJS Limited kerana menganggap ia telah dipersetujui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, ketika membacakan pernyataan saksinya berkata beliau telah menandatangani borang pengiriman wang berjumlah US$576,943,490 yang dikemukakan oleh Terence Geh (pengarah 1MDB) tanpa rasa curiga untuk dibayar ke akaun Aabar Investment PJS Limited di BSI Bank SA, Lugano, Switzerland daripada akaun Falcon Private Bank (Hong Kong) milik syarikat 1MDB Energy Limited (1MEL) sepertimana yang dibentangkan peguam 1MDB, Jasmine Loo.

"Namun segala aspek 'fund raising' (pengumpulan dana) dan jaminan International Petroleum Investment Co (IPIC) ini dilakukan dengan sokongan penuh IPIC dan Datuk Seri Najib melalui pihak Aabar (Mohamed Huseinny) dan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) serta Jasmine Loo.

"Saya tidak tahu siapa yang menentukan jumlah pembayaran US$576,943,490 (wang deposit sekuriti) itu yang pada pendapat saya adalah sangat besar jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan bon yang diterbitkan sebanyak US$1.75 bilion. Ia juga tidak pernah dibentangkan dan tidak pernah dimaklumkan kepada saya dan saya percaya ia juga tidak pernah dibentangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah (BOD).

"Namun, saya tidak curiga dan tidak mempersoalkannya kerana pada masa itu saya menganggap ini adalah sesuatu yang sudah dipersetujui oleh Datuk Seri Najib dan pihak IPIC, berdasarkan pelan tindakan dan perbincangan saya dengan Jho Low," katanya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Saksi pendakwaan kesembilan itu memaklumkan bahawa beliau juga percaya bahawa wang deposit sekuriti itu akan dikembalikan semula kepada syarikat apabila tawaran awam permulaan (IPO) bagi perniagaan tenaga anak syarikat 1MDB dibuat untuk penyenaraian di Bursa Saham Kuala Lumpur.

"Walau bagaimanapun, saya dapati wang deposit sekuriti tersebut tidak pernah dikembalikan semula kepada syarikat walaupun tiada sebarang IPO berjaya dibuat," jelasnya.

Saksi itu turut mengesahkan penyata bank bagi akaun semasa 1MDB Energy Limited di Falcon Private Bank bernombor 8009830 bagi Mei dan Jun 2012.

"Transaksi kemasukan berjumlah US$907,500,000 pada 22 Mei 2012 adalah sebahagian daripada bon berjumlah US$1.75 bilion yang telah diterbitkan bagi tujuan pengambilalihan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB). Setahu saya, transaksi ini dibuat oleh Bank of New York (BNY) Mellon London terus ke dalam akaun 1MDB Energy Limited.

"Pada tarikh sama (22 Mei 2012), 1MDB Energy Limited telah membuat transaksi pengeluaran berjumlah US$576,943,490 yang merujuk kepada pembayaran kepada Aabar Investments PJS Limited melalui remittance wang yang dirujukkan kepada saya," katanya.

Shahrol Azral berkata beliau juga telah menandatangani perjanjian Collaboration Agreement For Credit Enhancement antara 1MDB Energy Limited dan Aabar Investment PJS Limited bertarikh 21 Mei 2012.

"Saya ingin menjelaskan bahawa dokumen perjanjian itu disediakan oleh Jasmine yang saya percaya telah mendapat pelepasan daripada Jho Low.

“Saya telah tandatangani perjanjian ini bagi pihak 1MDB Energy Limited. Saya tandatangani di muka surat terakhir dokumen ini," katanya ketika dirujuk dokumen perjanjian itu oleh Sri Ram.

Saksi penting pendakwaan itu menjelaskan bahawa rundingan jaminan bon dari IPIC ini adalah amat kompleks dan melibatkan perhubungan kerajaan dengan kerajaan atau 'G2G' antara Abu Dhabi dan Malaysia.

"Tambahan pula rundingan ini juga melibatkan hubungan peribadi antara Putera Mahkota Abu Dhabi dan Datuk Seri Najib. Maka apabila Jasmine memaklumkan saya mengenai Credit Enhancement ini, saya tidak curiga dan tidak meminta untuk memeriksa segala terma yang melibatkan pembayaran tersebut.

"Jasmine juga tidak memberi apa-apa butiran kandungan perjanjian-perjanjian tersebut. Inilah perjanjian yang memberi justifikasi remittance kepada Aabar Investments PJS Limited," katanya.

Shahrol Azral menjelaskan bahawa semasa perjanjian itu ditandatanganinya pada 21 Mei 2012 mewakili 1MEL dengan pihak Aabar Investment PJS Limited, beliau yakin untuk memeterai perjanjian usahasama dengan anak syarikat IPIC, iaitu Aabar kerana berdasarkan nama syarikat ia tidak menunjukkan perbezaan yang sangat ketara.

"Ini adalah kerana alamat yang ditunjukkan dalam perjanjian ini adalah alamat Aabar yang tepat iaitu Tingkat 12, Bangunan Kementerian Tenaga, Jalan Corniche, PO Bx 107888, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Saya pernah ke alamat ini untuk berurusan dengan pihak IPIC dan Aabar yang sah. Jadi ia menggunakan alamat IPIC dan Aabar yang sah.

"Singkatan yang digunakan dalam perjanjian ini pula adalah 'Aabar Investments'. Jadi, saya langsung tidak menyedari bahawa ia adalah merupakan syarikat berlainan iaitu Aabar Investments PJS (British Virgin Islands (BVI). Selepas kecoh terdapat isu 1MDB melibatkan syarikat Aabar barulah saya perasan bahawa terdapat perbezaan Aabar sebenar dengan Aabar yang berpangkalan di BVI ialah perkataan di belakang sahaja iaitu Limited,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu