'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 1h ago ]

Berita AM


Projek Genting Sanyen dilaksana selepas diluluskan oleh Najib - bekas CEO 1MDB

Tarikh kemaskini: 30/09/2019
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (Gambar fail)
KUALA LUMPUR, 30 Sept -- Proses pemerolehan IPP Genting Sanyen (M) Sdn Bhd melalui 100 peratus ekuiti Mastika Lagenda Sdn Bhd yang dinamakan projek Greyhound dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan yang mewakili Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), pada 2012.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

"Untuk makluman, sepanjang proses pemerolehan ini dilaksanakan, 1MDB ada meminta kelulusan Najib sebagai Menteri Kewangan mewakili MOF Inc dan sebagai pemegang saham yang memiliki saham penuh 1MDB.

"1MDB juga mendapatkan kelulusan dari Najib merangkap Menteri Kewangan selaras dengan Seksyen 6 Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965 selepas kelulusan dari pemilik saham 1MDB iaitu Najib juga.

"Beliau (Najib) juga telah sedia maklum tentang kelulusan tersebut kerana beliau telah menurunkan tandatangan ke atas dokumen berkenaan," katanya.

Ketika dirujuk kepada surat Menteri Kewangan bertarikh 3 Ogos 2012, saksi berkata ia adalah surat kelulusan daripada Najib atas kapasitinya sebagai Kementerian Kewangan kepadanya bagi meluluskan cadangan “kemudahan pinjaman tidak melebihi RM1.0 bilion dan US$ 1.75 bilion 10 year notes” berkenaan dengan pengambilalihan Genting.

"Kelulusan ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 6 Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965. Ini adalah kerana segala keberhutangan dalam apa bentuk sekalipun mesti mendapat kelulusan Menteri Kewangan Malaysia terlebih dahulu.

"Kelulusan ini mesti diperolehi selepas mendapat kelulusan dalaman 1MDB iaitu, kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan kelulusan pemilik saham 1MDB iaitu MOF Inc iaitu Najib. Saya percaya bahawa Jasmine Loo sebagai pegawai yang menyediakan kertas kerja berkenaan pembiayaan ini telah mendapatkan tandatangan Najib pada masa tersebut.

"Saya tidak terlibat dalam urusan dengan bahagian pinjaman Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kelulusan tersebut. Saya tidak pasti sama ada terbitan bon ini ada melalui proses yang sepatutnya di Kementerian Kewangan atau tidak sehingga kelulusan diberikan oleh Najib atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan," katanya.

Ketika dirujuk kepada “1MDB director's circular resolution bertajuk 'proposed acquisition of Mastika Lagenda Sdn Bhd” bertarikh 10 Ogos 2012, saksi pendakwaan kesembilan berkata ia adalah pekeliling pengarah yang memberikan kelulusan cadangan pengambilalihan ekuiti Mastika Lagenda yang memegang 75 peratus Genting Sanyen Power Sdn Bhd yang memiliki Genting Sanyen Kuala Langat Power Station.

"Selain itu juga telah mendapat kelulusan untuk mengambilalih 100 peratus ekuiti Mastika Utilities & Services Sdn Bhd dan 100 peratus ekuiti Mastika Water Management Sdn Bhd. Pekeliling ini menyatakan bahawa saya diberikan mandat dan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kesemua urusan dokumentasi pembelian ini yang bernilai RM2.75 bilion.

"Selain itu, 1MDB diberi kelulusan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan tidak melebihi RM1 billion dan terbitan bon sebanyak US$1.75 bilion bagi urusan pengambilalihan ekuiti tersebut dengan struktur yang sama dengan pembelian TEHSB sebelum ini.

"Terbitan Bon ini juga akan dijamin oleh 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC). Saya tandatangan di ruangan nama saya di sebelah kanan mukasurat 3 dokumen ini," katanya sambil menambah Goldman Sachs adalah penasihat kewangan dan peguam Jasmine Loo sebagai wakil pasukan pelaburan 1MDB.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu