Organisasi Malaysia kurang mengaplikasikan 'awan' sebagai strategi teras - kajian [ 8m ago ]

Berita AM


Najib ada kepentingan dalam usahasama RM18 bilion antara 1MDB-Aabar - saksi

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kepentingan dalam perjanjian usahasama berjumlah RM18 bilion (US$6 bilion) yang dimeterai antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC), Aabar Investment PJS (Aabar).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata kehadiran Najib dalam majlis menandatangani perjanjian dua hala itu pada 12 Mac 2013 yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya jelas menunjukkan bahawa bekas perdana menteri tersebut mempunyai 'interest' dan usahasama itu 'baby' Najib.

"Tindakan Datuk Seri Najib ini selaras dengan perancangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kerana kesemua perjalanan dan perancangan sehingga berjayanya majlis menandatangani perjanjian usahasama berkenaan adalah diatur dan dirancang olehnya (Jho Low).

"Ini berdasarkan makluman, 'action plan' dan perbincangan oleh Jho Low kepada saya dan Jasmine Loo (peguam 1MDB) dalam memastikan majlis itu terlaksana," katanya ketika membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Shahrol Azral ketika merujuk kepada dokumen '1MDB Media Release - RM18 billion Strategic Partnership For Growth' memaklumkan bahawa perjanjian itu telah ditandatangani oleh Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin dan Pengerusi Aabar, Khadem Al Qubaisi.

"Upacara menandatangani perjanjian itu dilakukan di hadapan Datuk Seri Najib dan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan. Ia diadakan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Putrajaya dan diuruskan oleh pegawai di PMO yang diketuai oleh Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Najib).

"Saya sahkan bahawa ini adalah merupakan satu mandat besar Datuk Seri Najib iaitu ingin memastikan agar usahasama antara Abu Dhabi dan Malaysia dimeterai melalui syarikat 1MDB dan Aabar Investment PJS," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata perjanjian yang ditandatangani itu merupakan satu peristiwa besar antara 1MDB dan Aabar kerana ia merupakan “G to G deal” serta melibatkan usahasama strategik kedua-dua negara.

"Peranan Datuk Seri Najib yang aktif dalam membincangkan perkara ini dan juga arahan serta mandat daripada beliau telah menyakinkan saya untuk melaksanakan usahasama ini kerana semua perancangan adalah melalui Jho Low iaitu individu penting yang diletakkan oleh Datuk Seri Najib dalam menggariskan strategi-strategi beliau termasuklah joint venture (JV).

"Tindakan Datuk Seri Najib ini adalah selari dengan 'action plan' Jho Low dalam merancang kerjasama ini dan mengikut corak kerjasama yang beliau (Najib) tentukan," jelasnya.

Saksi penting pendakwaan itu berkata secara keseluruhannya, ia adalah idea dan perancangan Jho Low setelah melalui perbincangan secara mendalam dengan Najib yang merupakan 'ultimate power' dalam 1MDB berdasarkan maklum balas Jho Low dan pelan perancangan melalui emel sulit beliau.

"Ini jelas bahawa ia perlu disegerakan kerana ingin memastikan kehadiran Putera Mahkota Abu Dhabi sebagai saksi semasa perjanjian ini dimeterai kerana ia penting dari segi politik memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang hampir tiba. Jho Low sendiri yang memaklumkan bahawa usahasama ini akan memberikan kesan kepada PRU13," jelasnya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu