Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 8m ago ]

Berita AM


1MDB GIL terbit bon AS$3 bilion dengan sokongan Najib - saksi

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (Gambar fail)
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL) telah menerbitkan bon berjumlah AS$3 bilion dengan sokongan Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam syarikat Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) sedangkan syarikat itu tidak beroperasi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata selepas terbitan bon AS$3 bilion oleh 1MDB GIL, tidak ada sebarang urusan oleh ADMIC dan tidak ada apa-apa suntikan dana ke dalam ADMIC seperti rancangan awal.

"ADMIC dicetuskan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) kononnya untuk menjadi 'special purpose vehicle' (SPV) kepada usahasama Project Catalyze. Semua telah digariskan dalam pelan perancangan Jho Low kepada saya melalui emel sulit. Manakala, Jasmine Loo (peguam 1MDB) akan menguruskan penubuhan ADMIC sepertimana arahan Jho Low.

"ADMIC sebenarnya tidak aktif dan ia tidak dilaksanakan sepertimana yang dicadangkan. Saya terpaksa melaksanakan arahan Jho Low kerana ia adalah mandat dan kehendak Datuk Seri Najib," katanya yang turut memaklumkan cadangan usahasama 1MDB dan Aabar Investment PJS (Aabar) melalui ADMIC langsung tidak dilaksanakan sepertimana yang dibentangkan kepada Kementerian Kewangan sehingga berjaya menerima terbitan dana sebanyak US$3 bilion.

Shahrol Azral berkata ia merupakan perancangan Jho Low, namun tanpa sokongan Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Najib, maka 'Letter of Support' tidak akan dikeluarkan, seterusnya terbitan dana tersebut tidak akan diperoleh.

Shahrol Azral ketika merujuk dokumen 'Joint Venture Agreement Relating to ADMIC by Aabar and 1MDB” bertarikh 12 Mac 2013, berkata dokumen itu merupakan perjanjian berhubung penubuhan ADMIC iaitu syarikat SPV bagi tujuan usahasama 1MDB dengan Aabar Investment PJS, yang telah ditandatangani pada 12 Mac 2013 di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di antara wakil 1MDB, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin dan Pengerusi Aabar, Khadem Al Qubaisi.

"Saya juga hadir sebagai saksi dan telah menandatangani perjanjian ini di ruangan saksi sebagai CEO 1MDB. Saya sahkan perjanjian ini adalah merupakan satu bentuk kesefahaman yang mana setiap pihak perlu menyuntik dana sebanyak AS$3 bilion ke dalam syarikat ADMIC ini.

"Maka dengan itulah, 1MDB GIL iaitu anak syarikat 1MDB telah menerbitkan bon AS$3 bilion bagi mematuhi perjanjian ini. Namun begitu, saya difahamkan bahawa syarikat ADMIC tidak beroperasi dan Aabar tidak menyuntik sebarang dana ke dalam ADMIC," katanya semasa membacakan penyataan saksinya pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, majlis menandatangani perjanjian berkenaan turut dihadiri Datuk Seri Najib bersama-sama dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Menceritakan mengenai penubuhan syarikat ADMIC, saksi itu berkata syarikat berkenaan telah diuruskan sepenuhnya oleh Jasmine Loo sepertimana yang dirancang dalam pelan perancangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Syarikat ini ditubuhkan pada 5 Mac 2013 dengan dua 'ordinary share' yang dimiliki 1MDB dengan saya sebagai Director. Kemudiannya, Jasmine Loo menguruskan pemindahan satu share kepada 1MDB GIL dan satu share kepada Aabar pada 10 Ogos 2013.

"Saya lihat ini juga sebagai satu lagi langkah yang tergesa-gesa kerana syarikat ini telah ditubuhkan pada 5 Mac 2013 bagi tujuan usahasama tersebut yang ditandatangani pada 12 Mac 2013," katanya yang turut memaklumkan tujuan asal ADMIC adalah sebagai SPV pelaburan 50:50 antara 1MDB dan Aabar.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu