Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 30m ago ]

Berita AM


Usahasama 1MDB-GIL-ADMIC dimuktamad dalam masa dua bulan - saksi

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Cadangan usahasama antara 1Malaysia Development Berhad Global Investments Limited (1MDB GIL) dan syarikat Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) berjumlah US$6 bilion dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau yakin bahawa kesemuanya memang telah diatur dan dikehendaki dengan sangat cepat.

“Cadangan usahasama US$6 bilion hanya diutarakan pada pertengahan Januari, namun lebih kurang dalam tempoh dua bulan segalanya telah berjaya dimuktamadkan termasuklah pengeluaran LOS (Letter of Support) oleh MOF, perbincangan dengan Abu Dhabi, penubuhan ADMIC, penubuhan 1MDB GIL dan banyak lagi.

Pengumpulan dana juga telah berjaya diperoleh sebanyak US$ 3 bilion pada 19 Mac 2013 ke dalam akaun 1MDB GIL. Pada saya, ia sememangnya suatu yang tidak mustahil dan bukan melalui prosedur normal.

Antara sebab lain saya mengatakan ia telah diatur dan dikehendaki dengan sangat cepat ialah, apabila cadangan usahasama dengan Aabar Investment PJS (Aabar) yang diluluskan pada DCR 8A/2013 (Director’s Circular Resolution) tersebut telah dijadikan pelan sokongan (kerana due diligence terhadap real property asset mengambil masa yang lama).

Ia telah dijadikan pelan sokongan supaya sekiranya pengumpulan dana sebanyak US$6 bilion ini tidak berjaya (LOS tidak dapat diperoleh) maka mereka akan meneruskan dengan usahasama seperti dalam DCR 8A/2013,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata ini menunjukkan bahawa mereka langsung tidak mahu membuang masa dan akan mencuba segala kemungkinan yang ada bagi menjayakan pengumpulan dana tersebut melalui cara yang paling pantas.

“Selain itu, lagi satu sebab ialah apabila DCR 12/2013 1MDB telah ditarikhkan pada 12 Mac 2013, kemudian perjanjian dengan Abu Dhabi juga pada Feb 2013 dan DCR 1/2013 1MDB GIL juga bertarikh 12 Mac 2013.

Ia kelihatan seperti semuanya telah disahkan melalui kesemua dokumen dan prosedur-prosedur tersebut walaupun ia adalah satu yang hampir mustahil untuk kesemuanya dilakukan pada tarikh yang sama,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-16 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1MDB.

Beliau berkata pada masa itu, lawatan Crown Prince Abu Dhabi juga diaturcara oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai salah satu aktiviti sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) dan untuk memberi keyakinan kepada pelabur dan rakyat Malaysia bahawa ia adalah satu projek yang benar-benar berlaku.

Shahrol Azral berkata apabila melihat dari kesemua gerak kerja dan apa yang telah berlaku, ia dengan pasti menunjukkan seperti kesemua aturan itu akan merumuskan kepada satu objektif yang beliau tidak pasti.

“Walau bagaimanapun, fakta bahawa Jho Low beritahu saya bahawa pengumpulan dana itu akan memberikan satu impak besar dalam PRU, merupakan satu yang sangat masuk akal dan konsisten memandangkan PRU juga adalah pada tahun yang sama,” katanya.

Ketika dirujuk kepada dokumen berhubung pendaftaran Malaysian Abu Dhabi Investment Company (MADIC) yang telah didaftarkan pada 5 Mac 2013 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi itu berkata beliau pernah melihat dokumen iitu.

Katanya dokumen itu menjelaskan penukaran nama syarikat tersebut kepada Abu Dhabi Malaysia Investment Company Limited (ADMIC) pada 12 Mac 2013.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu