MIDF kekal saranan 'neutral' ke atas MISC, pertumbuhan akan dipacu oleh segmen LNG [ 13m ago ]

Berita AM


Bekas CEO 1MDB selesai baca penyataan saksi setebal 270 muka surat dalam masa enam hari

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hari ini selesai membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat selepas enam hari berada di dalam kandang saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1MDB.

Shahrol Azral, 49, yang juga bekas CEO Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) mula mengangkat sumpah untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan kesembilan pada 23 Sept lalu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Selain membacakan penyataan saksinya, saksi penting pendakwaan itu turut disoal dengan soalan-soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada peringkat pemeriksaan utama.

Shahrol Azral akan disoal balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Isnin depan kerana pihak pembelaan memohon masa untuk meneliti penyataan saksi dan membuat persediaan sebelum menyoal balas saksi itu.

Hari ini merupakan hari ke-16 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu