Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 54m ago ]

Berita AM


Najib lulus anak syarikat 1MDB Share Capital US$2.2 bilion - saksi

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kelulusan kepada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memiliki 49 peratus ‘issued share capital’ dalam PetroSaudi Oil Service Limited (PSOSL) dengan nilai US$2,222,630,000 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata Najib telah menandatangani ‘Shareolder's Resolution’ untuk memberi kelulusan kepada anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB International Holdings Limited (BVI).

“Saya camkan tandatangan pada dokumen ini adalah tandatangan Datuk Seri Najib,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Shahrol Azral berkata, berdasarkan 1MDB Directors’ Circular Resolution (DCR) bertarikh 20 Jun 2012 itu menyatakan bahawa beliau telah diberi kuasa untuk membuat rundingan berkenaan pembelian share capital, melaksanakan dokumentasi dan sebagainya bagi pihak 1MDB BVI.

“Salah seorang ahli pengurusan kanan telah menghantar DCR ini ke pejabat saya untuk ditandatangani. Saya merujuk kepada muka surat dua pada DCR itu, saya sahkan saya telah menandatangani DCR berkenaan.

“Semasa DCR ini diterima ‘Shareholders Resolution and Minutes by Representative’ yang telah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib disertakan bersama DCR itu,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Menurut Shahrol Azral, kedua-dua dokumen itu menjadi rujukan utama untuk beliau membuat keputusan sebelum menurunkan tandatangan pada DCR itu.

“Namun kesemua dokumen itu tidak bertarikh pada ketika itu,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013 di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu