MIDF kekal saranan 'neutral' ke atas MISC, pertumbuhan akan dipacu oleh segmen LNG [ 14m ago ]

Berita AM


Jho Low, Jasmine Loo cadang agar pemilikan ekuiti PSOSL milik anak syarikat 1MDB dilupuskan - saksi

Tarikh kemaskini: 01/10/2019
KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan agar pemilikan ekuiti PetroSaudi Oil Service Limited (PSOSL) yang dimiliki oleh 1MDB International Holdings Limited dilupuskan dengan cara menjual 100 peratus syer kepada Bridge Partners International Investment Limited.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata peguam 1MDB, Jasmine Loo turut mencadangkan perkara sama untuk mengelak persepsi negatif kerajaan Amerika Syarikat terhadap Malaysia disebabkan pemilikan ekuiti PSOSL yang berada di negara berkenaan.

Shahrol Azral, yang memberi keterangan pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1MDB, berkata sekitar akhir Julai 2012, Jho Low memberitahunya bahawa Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ke atas Venezuela.

Menurut Shahrol Azral, Bridge Partners International Investment Limited dicadangkan oleh pengarah syarikat Brazen Sky Limited, Terence Geh serta Jasmine Loo dan beliau (Shahrol Azral) menerima cadangan mereka dengan niat baik (good faith), kerana cadangan itu juga adalah konsisten dengan ‘Action Plans’ yang dihantar oleh Jho Low melalui emel kepadanya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai Brazen Sky Limited, Shahrol Azral berkata syarikat itu adalah sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) yang ditubuhkan 12 Julai 2012 di British Virgin Islands (BVI) sebagai transit untuk membawa pulang dana pelaburan PSOSL yang beroperasi di Venezuela.

“Maka saya menerima cadangan itu dengan anggapan semua butiran ini sudah dipersetujui oleh Datuk Seri Najib. Seterusnya, Jho Low dan Jasmine Loo juga mencadangkan agar hasil jualan ekuiti PSOSL itu dilaburkan pula di dalam ‘hedge fund’ di Bridge Global Absolute Return Fund SPC yang beroperasi di Cayman Island.

“Saya pada mulanya agak keberatan dengan idea itu kerana tujuan awalnya adalah untuk membawa pulang ke Malaysia wang yang asalnya daripada pelaburan dengan JV PetroSaudi pada 2009.

“Tetapi apabila saya diberikan ‘action plans’ dari Jho Low yang menyatakan bagaimana wang pelaburan ini akan dibawa pulang secara berjadual, kerana perlu menunggu waktu terbaik untuk tebusan kepada wang tunai bagi mengelakkan kerugian, maka saya bersetuju untuk membawa perkara ini di dalam persetujuan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau telah membawa perkara itu dalam mesyuarat BOD 1MDB untuk mendapatkan persetujuan.

“Pada 2 Ogos 2012, BOD 1MDB telah mengeluarkan resolusi meluluskan penjualan ekuiti 1MDB International Holdings Limited dengan nilai tidak kurang US$2,222,630.00 kepada Bridge Partners International Investment Limited.

“Selain itu, BOD juga bersetuju supaya hasil penjualan ekuiti itu dilaburkan di dalam mana-mana pelaburan yang diuruskan oleh Fund Manager yang berlesen.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu