'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 1h ago ]

Berita AM


Inti pati perbicaraan 1MDB Najib pada 30 Sept-1 Okt

Tarikh kemaskini: 05/10/2019
KUALA LUMPUR, 5 Okt -- Bagaimana wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan, bagaimana 1MDB masuk menyertai projek usahasama bagi tujuan mengutip dana untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan banyak lagi skandal membadai dana 1MDB didedahkan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini, sepanjang minggu ini.

Ini didedahkan oleh Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudian bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, sebagai saksi utama kesembilan dan seorang daripada pendakwa raya.

Bekas Perdana Menteri itu yang kini berusia, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014, dan 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.

Berikut adalah inti pati testimoni saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dari 30 Sept hingga 1 Okt.



HARI 15 (30 Sept):

  • Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa lebihan US$790,354,855.00 dalam deposit sekuriti dibayar kepada Aabar Investment PJS Ltd (Aabar) oleh 1MDB dikreditkan secara palsu ke dalam akaun Najib.

  • Shahrol Azral, berkata pembayaran itu berhubung dengan pengambilalihan Genting (Genting Sanyen) yang ditamatkan dengan pembiayaan menerusi satu pinjaman penyambung RM700 juta dan penerbitan bon bernilai US$1.75 bilion.

  • “Saya mengakui terdapat satu lebihan besar daripada pembiayaan untuk pengambilalihan itu,” kata saksi apabila membaca pernyataan saksi setebal 270 muka surat.

  • Bagaimanapun, beliau berkata dia tidak menahu bahawa lebihan dalam bayaran deposit sekuriti itu berjumlah US$ 790,354,855.00 kepada Aabar adalah bagi tujuan penyelewengan oleh yang lain.

  • “Bayaran deposit sekuriti itu dibuat dengan jujur berdasarkan dokumen yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Goldman Sachs, Asia CEO).

    “Saya hanya mengetahui semasa siasatan bahawa deposit sekuriti itu diatur oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) bagi membolehkan dana 1MDB masuk ke dalam akaun di bawah kawalannya dan seterusnya dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib.

  • Shahrol Azral berkata, usahasama antara 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar) bagi tujuan mengumpul dana untuk PRU13 dan kerjasama antara kedua-dua syarikat adalah atas cadangan Najib sendiri.

  • “Jho Low juga memberitahu saya pada ketika itu bahawa usahasama dengan Aabar akan memberi kesan besar kepada PRU13. Saya tidak menanya lanjut,” katanya.

  • Saksi juga berkata Jho Low diberi mandat untuk menyampaikan arahan Najib kepada pihak pengurusan 1MDB.

    “Semua tindakan adalah konsisten dan menyakinkan saya. Malahan apabila Jho Low tidak mempunyai kuasa rasmi, saya tahu dia ada, dari mula lagi, mandat untuk menyampaikan arahan Datuk Seri Najib kepada saya dan keseluruhan pengurusan 1MDB.

  • Beliau juga memberitahu 1MDB tidak boleh lagi mendapatkan sebarang persetujuan pinjaman selepas Mei 2009 tanpa kelulusan Najib.

  • Sahrol Azral berkata, selepas TIA, ia kemudian berubah kepada 1MDB, menerima jaminan Kerajaan Persekutuan pada Mei 2009, 1MDB tertakluk kepada Akta Jaminan Pinjaman (Badan Korporat) 1965 di mana 1MDB tidak lagi dapat sebarang persetujuan pinjaman baru melainkan dengan kelulusan Menteri Kewangan.



HARI 16 (1 Okt):



  • Sahrol Azral memaklumkan bahawa “Saya baru menyedari bahawa corak kebocoran dari 1MDB sejak 2009 hingga 2013 adalah selalunya meminjam dana untuk projek yang kononnya baik untuk negara dan mengalirkan separuh daripada dana pinjaman itu.”

    Beliau berkata, sejak bertahun, cara ini diperhalusi dan diketatkan, hingga semakin berkurangan ruang untuk perbincangan bagi mendapatkan dana oleh pengurusan 1MDB dan Lembaga Pengarahnya (BOD).

  • Beliau juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau boleh menyatakan daripada bahasa tubuh Najib dan Jho Low bahawa mereka “positif dan amat selesa” antara satu sama lain berdasarkan pemerhatian beliau pada banyak majlis apabila Jho Low berada di rumah Najib.

  • Jho Low, katanya, bukan sahaja biasa dengan susun atur rumah Najib malahan ahli keluarga tertuduh dari cara dia bercakap mengenai mereka.

  • Shahrol Azral memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa beliau diarah meninggalkan negara ini oleh pejabat Najib bagi mengelakkan pembicaraan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada 2015.

  • Saksi berkenaan dilantik sebagai CEO 1MDB pada 2009 dan diarah berpindah ke Pemandu, unit pengurusan prestasi dan penyampaian kerajaan, pada 15 Mac, 2013, berkata CEO 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy memberitahu beliau bahawa PMO telah mengarahkan beliau untuk pergi ke luar negara bagi mengelakkan mesyuarat PAC yang pertama.

  • “Saya terbang ke Singapura untuk sehari,” katanya.

  • Shahrol Azral, akan disoal balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Isnin.

  • -- BERNAMA












        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu