Penerbangan pertama Ipoh-Guangzhou pada 27 Nov ini [ 19m ago ]

Berita AM


Pinda laporan 1MDB: pendakwaan diminta cepat serah penyataan saksi pada pembelaan

Tarikh kemaskini: 07/10/2019
KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Mahkamah Tinggi hari ini sekali lagi meminta pasukan pendakwaan dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy mempercepatkan serahan penyataan saksi kepada pembelaan supaya kes berjalan seperti dijadualkan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut mengarahkan pihak pendakwaan supaya menyiapkan penyataan saksi secepat mungkin sebelum perbicaraan kes bermula.

“Pada pengurusan kes yang lepas, saya telah meminta pihak pendakwaan supaya menyiapkan penyataan saksi segera mungkin.

“Saya faham pihak pendakwaan ada kes lain tetapi penyataan saksi perlu disediakan dan saya akan pastikan penyataan saksi itu disediakan dua minggu sebelum perbicaraan,”katanya semasa pengurusan kes itu dihadapannya hari ini.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim memaklumkan bahawa pihaknya masih dalam proses penyediaan penyataan saksi bagi tujuan perbicaraan.

“Pihak pendakwaan hari ini telah menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,”katanya.

Beliau juga memohon supaya tarikh perbicaraan kes itu dilapangkan berikutan terdapat pertindihan dengan kes 1MDB.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini berkata tarikh-tarikh perbicaraan (18 Nov hingga 29 Nov 2019 dan 13 Jan hingga 17 Jan 2020) telah ditetapkan dan ianya tidak bertindih dengan tarikh perbicaraan kes lain.

“Setahu saya tiada yang ‘clash’ atau bertindih dengan tarikh-tarikh lain dan tiada masalah,”katanya dan menetapkan 16 Okt dan 12 Nov untuk pengurusan kes.

Perkara itu disahkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib, 66, dan Datuk N. Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda, 43.

Pada 4 Jan 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan tersebut, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu